Johor sasar sifar asnaf tahun ini, kata Noh Gadut

Johor sasar sifar asnaf tahun ini, kata Noh Gadut

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Majlis Agama Islam Johor (Maij) berhasrat mencapai sasaran sifar asnaf (penerima wang zakat) yang tercicir daripada senarai mereka yang layak di negeri ini bermula tahun ini.

Penasihat Maij, Datuk Noh Gadot berkata bagi menjayakan sasaran itu, semua kakitangan MAIJ termasuk kadi dan ketua kampung diminta terlibat sama mengenal pasti mereka yang layak untuk menerima wang zakat.

“Pihak majlis menerusi Program Jejak Asnaf akan mencari dan membantu seramai mana golongan asnaf di negeri Johor agar tidak ada yang tercicir dalam pengagihan wang zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menyertai Program Jejak Asnaf Maij di daerah Ledang di Kampung Parit Dua, Sagil yang membabitkan 35 buah rumah di Ledang hari ini.

Noh berkata sebagai ahli majlis adalah menjadi tanggungjawab dirinya untuk memastikan bahawa semua kutipan wang zakat diagihkan kepada saluran yang betul.

“Kita tidak mahu ada golongan asnaf yang tertinggal daripada menerima bantuan ini.

Justeru itu, kita mahu semua pihak termasuk pemimpin setempat menyalurkan maklumat kepada Maij  sekiranya terdapat golongan asnaf yang perlu mendapatkan bantuan. Insya-Allah kita tiada masalah untuk datang membantu,” katanya.

TAGS