Malaysia Dateline

Johor terima peruntukan RM765.5 juta daripada Kerajaan Persekutuan

Johor telah menerima peruntukan sebanyak RM765.5 juta daripada kerajaan Persekutuan sehingga 30 Oktober lepas, kata Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata Johor merupakan negeri ketiga tertinggi menerima peruntukan 2018 daripada kerajaan persekutuan iaitu berjumlah RM871.46 juta selepas Sarawak dan Sabah.

“Antara terimaan peruntukan meliputi pemberian penyelenggaraan jalan negeri sebanyak RM503.04 juta diikuti dengan pemberian bagi membiayai perbelanjaan mengurus Jabatan Gunasama sebanyak RM58.36 juta dan pemberian mengikut bilangan penduduk sebanyak RM47.4 juta,” kata beliau pada Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke-14 di Kota Iskandar, di sini, pagi ini.

Menjawab soalan tambahan Rosleli Jahari (PH-Kota Lama) mengenai saiz peruntukan dana yang diterima daripada kerajaan persekutuan, beliau berkata peruntukan itu akan digunakan bagi perbelanjaan mengurus kerajaan dan pembangunan di seluruh negeri Johor.

Sementara itu, Menteri Besar berkata pengurangan peruntukan perbelanjaan pembangunan di Johor khasnya bagi tahun ini adalah berikutan pendekatan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memfokuskan kepada “kualiti pertumbuhan” pembangunan.

Beliau berkata peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi Belanjawan 2017 adalah sebanyak RM 763.3 juta manakala pada tahun 2018 pula adalah RM 700 juta dan sebanyak RM 600 juta disediakan untuk tujuan pembangunan pada 2019.

Ini bermakna kerajaan hanya akan berbelanja setelah kajian keutamaan dan output projek dikenalpasti bagi pulangan yang maksimum kepada rakyat.

“Paling penting kerajaan perlu memastikan manfaat pertumbuhan pembangunan dikongsi secara adil dalam kalangan rakyat. Boleh disimpulkan di sini, kerajaan kini lebih menumpukan kepada perbelanjaan berteraskan keperluan rakyat,” kata beliau ketika menjawab soalan tambahan Mohd Izhar Ahmad (PH-Larkin) mengenai perbezaan perbelanjaan antara pemerintahan kerajaan lalu dengan kerajaan sedia ada.

Terdahulu, Dr Sahruddin menjelaskan melalui perbelanjaan berhemat yang diamalkan kerajaan negeri sejak mengambil alih kerajaan negeri selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, kerajaan negeri telah berjaya berbelanja secara berhemat di atas kawalan dan tindakan pengurusan kewangan yang cekap.

“Bagi tahun 2019, kerajaan negeri terus berbelanja ke arah memperkukuh dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat. Kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan merupakan prinsip tadbir urus utama untuk memastikan amalan baik dalam pengurusan perbelanjaan awam semasa,” kata beliau.

Daripada langkah penjimatan dan prestasi kutipan hasil, ia jelas menunjukkan bahawa Kerajaan PH telah mengambil langkah-langkah dalam memastikan pengurusan kewangan kerajaan yang lebih baik dan efisyen.

“Projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi kepada ekonomi dan program berteraskan rakyat terus diberi keutamaan, merangkumi pelbagai program dan projek yang bertujuan meningkatkan pelaburan modal, kapasiti produktif dan meningkatkan taraf hidup,” kata beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong itu berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Izhar mengenai jumlah perbelanjaan tetap negeri PH jika dibandingkan dengan kos pemerintahan kerajaan sebelum ini.– BERNAMA