Malaysia Dateline

‘Johor tetap stabil walaupun kerajaan bertukar’

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Hasanuddin Yunos menggambarkan tidak akan berlaku pergolakan yang memberi kesan terhadap pentadbiran negeri sekiranya berlaku peralihan kuasa di Johor.

Beliau berkata, pentadbiran kerajaan akan tetap stabil selagi ianya di bawah bimbingan dan naungan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai payung utama negeri.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada amaran Sultan hari ini yang tidak mahu perebutan kuasa dan polemik politik terus berlaku di negeri itu.

“Titah tersebut sangat bertepatan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor yang menjadi model perlembagaan negeri-negeri lain dalam melindungi kedaulatan negeri-negeri Melayu sejak zaman-berzaman.

“Kemudiannya ia dijadikan sebagai panduan dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

“Sebarang pertukaran kerajaan tetap akan stabil dibawah bimbingan dan naungan Tuanku Sultan sebagai payung utama negeri,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Hulu Langat itu lagi, sekiranya majoriti Adun Johor kembali kepada Pakatan Harapan (PH), PH tetap taat kepada baginda.

Menurutnya, kepentingan rakyat menjadi keutamaan Istana malah turut menjadi keutamaan kepada Pakatan Harapan.

“Sekiranya Adun Johor mengekalkan keputusan rakyat pasca 9 Mei 2018, saya yakin PH akan tetap taat serta setia tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Sultan dalam menjalankan amanah, memaju dan memakmurkan rakyat Negeri Johor,” ujarnya.