Johor tolak laksana bil bersepadu air, pembetungan buat masa ini

Johor tolak laksana bil bersepadu air, pembetungan buat masa ini

Pelaksanaan pengebilan bersepadu bagi perkhidmatan bekalan air dan pembetungan di antara syarikat Ranhill SAJ dan Indah Water Konsortium (IWK) tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti Johor Jimmy Puah Wee Tse berkata buat masa sekarang, kerajaan negeri menolak pelaksanaan langkah itu sementara menunggu pihak terlibat memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Cadangan pengebilan bersepadu adalah melalui satu bil tunggal yang akan dikeluarkan oleh Ranhill SAJ Sdn Bhd dengan bil menunjukkan penggunaan air terawat di bahagian atas bil dan caj pembetungan pada bahagian bawah.

“Kerajaan negeri telah menolak pelaksanaan pengebilan bersepadu buat masa sekarang oleh Ranhill SAJ dan IWK tertakluk kepada penyempurnaan syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya menjawab soalan Ee Chin Li (PH-Tangkak) yang ingin tahu apakan sebab kerajaan membenarkan bil perkhidmatan pembetungan IWK disatukan dengan bil air Ranhill SAJ Sdn Bhd, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di sini hari ini.

Puah berkata antara syarat berkenaan ialah kaedah pengebilan bersepadu tidak melibatkan kenaikan tarif IWK dan air terawat selain caj pembetungan sektor domestik kekal pada RM8 sebulan.

Syarat lain ialah pelaksanaan bil bersepadu di Johor perlu dibuat serentak dengan negeri lain supaya Johor tidak dijadikan sebagai projek rintis atau uji kaji untuk mengetahui penerimaan rakyat atau pengguna, katanya.

“Oleh yang demikian, IWK perlu berusaha dengan lebih keras untuk meyakinkan operator bekalan air dan kerajaan di negeri-negeri lain menerima cadangan pengebilan bersepadu itu,” katanya.

Menurut Puah, inisiatif dan kempen berhubung cadangan pengebilan bersepadu itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh, bukan sahaja di peringkat negeri tetapi turut disertai kerajaan persekutuan, melalui media cetak, media sosial dan sebagainya.

Katanya pada masa sama, perincian lebih teliti dengan semua pihak berkepentingan negeri perlu diadakan agar kebajikan rakyat diutamakan.

— BERNAMA