Johor tumpu aspek pembangunan sukan di sekolah bagi lahirkan ramai atlet

Johor tumpu aspek pembangunan sukan di sekolah bagi lahirkan ramai atlet

Kerajaan Negeri akan menumpukan aspek pembangunan sukan di sekolah negeri ini bagi melahirkan lebih ramai atlet berkebolehan pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata pihaknya akan berbincang dengan persatuan sukan di negeri ini bagi merealisasikan pembangunan berkenaan.

“Contohnya, Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bilal di Batu Pahat ini yang tersenarai sebagai Sekolah Pembangunan Ragbi Kebangsaan dan mempunyai pelajar yang aktif dalam sukan ragbi.

“Pasukan ragbi sekolah ini berjaya mengharumkan nama negeri dan negara termasuk baru-baru ini layak menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa yang diadakan di Singapura.

“Namun, ketika menghadapi kejohanan terbabit, pasukan ragbi ini berdepan dengan beberapa kekangan termasuk kekurangan dana sehinggakan mereka terpaksa berhadapan dengan kejohanan antarabangsa dengan kewangan yang paling minimum,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Olahraga SK Parit Bilal, yang turut dihadiri Guru Besarnya, Rahmat Atan..

Mohd Khuzzan berkata selain perbincangan dengan persatuan sukan di peringkat negeri, pihaknya merancang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi membolehkan sekolah di negeri ini mendapat tajaan tertentu daripada pihak swasta dan yang lain.

Beliau turut mengharapkan pasukan ragbi SK Parit Bilal menerima tajaan daripada mana-mana pihak selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaja pembangunan sukan hoki sekolah berkenaan.

“Selepas ini, kita mengharapkan pasukan ragbi sekolah ini juga mempunyai tajaan untuk keperluan mereka, seperti keperluan peralatan sukan dan pembiayaan lain sekiranya mereka mempunyai pertandingan di peringkat luar.

“Selain itu, kerajaan negeri akan mengeluarkan peruntukan untuk membantu sekolah pembangunan ini agar usaha melahirkan jaguh sukan dari negeri ini tidak ‘terbantut’ akibat kekangan tertentu,” katanya.

— BERNAMA