Malaysia Dateline

Johor tumpu tempat pelancongan berpotensi

Persediaan bagi menyambut Tahun Melawat Johor 2020 tahun depan perlu dipergiatkan dengan tumpuan kepada lokasi yang berpotensi.

Penyelaras Dun Kukup, Suhaizan Kaiat berkata, pelbagai pihak perlu memberikan cadangan mengenai tempat pelancongan seperti tapak sejarah, lokasi menarik dan juga taman tema atau rekreasi.

Speaker Dun Negeri Johor itu berkata, terdapat lokasi yang masih belum diterokai yang berpotensi untuk dikembangkan sebagai tapak tarikan pelancongan.

“Lokasi yang dikenal pasti seperti kawasan Gunung Pulai khususnya boleh dibangunkan lagi dari segi infrastruktur seperti tapak sukan ekstrem.

“Ini amatlah penting bagi memastikan Tahun Melawat Johor 2020 berjaya mencapai objektifnya sebagai tapak tumpuan pelancong,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika melawat kawasan di sekitar Gunung Pulai bersama-sama NGO Pertubuhan Unit Teknikal Intergriti Hijrah (PUTIH).

Untuk rekod, Hutan Lipur Gunung Pulai terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari Bandaraya Johor Bahru dan hanya 10 km dari susur keluar Plaza Tol Kulai.

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, gunung setinggi 654 meter itu sesuai dijadikan sebagai salah satu lokasi tarikan pelancong serta aktiviti sukan lasak terutamanya merentas hutan dan mendaki gunung.

Nor Azimah Abdul Mutalib

Sementara itu, Setiausaha PUTIH, Nor Azimah Abdul Mutalib berkata, pihaknya berhasrat agar kerajaan negeri menyokong penuh usaha mereka untuk membangunkan lagi kawasan kaki Gunung Pulai 2 itu sebagai tapak sukan lasak.

Katanya, setakat ini Gunung Pulai adalah lokasi yang berjaya menarik tumpuan pelancong dan kebanyakan mereka telah memberikan pelbagai cadangan untuk pembangunan tapak gunung tersebut.

“Kami menyokong penuh hasrat murni kerajaan untuk membangunkan kawasan Gunung Pulai ini dan sememangnya potensi kawasan di sini mampu menarik minat orang ramai.

“Setakat ini, prasarana berkenaan dengan sukan ekstrem atau lasak ini tidak mencukupi sedangkan sambutan terhadap sukan tersebut di sini terlalu menggalakkan.

“Kami berharap agar kerajaan mampu untuk membangunkan tempat ini sebagai tempat potensi untuk pelancongan apatah lagi pada Tahun Melawat Johor 2020 tahun depan,” katanya lagi.