Malaysia Dateline

Jokowi individu pertama di Indonesia disuntik vaksin Covid-19

Presiden Indonesia, Joko Widodo hari ini, menerima suntikan vaksin Covid-19, Sinovac, sekali gus menjadi rakyat pertama negara itu berbuat demikian.

Majlis “Suntikan Perdana” di Istana Presiden di Bogor itu, disiarkan secara langsung menerusi Youtube Sekretariat Presiden, hari ini.

Presiden Indonesia yang lebih mesra dengan panggilan Jokowi itu menerima suntikan tersebut pada jam 10 pagi waktu tempatan hari ini.

Beliau kemudiannya perlu menunggu kira-kira 30 minit jika berlakunya reaksi susulan seperti alahan atau simptom lain.

Antara yang turut hadir dalam usaha pemerintah meyakinkan rakyatnya terhadap vaksin itu ialah beberapa anggota Kabinet, yang turut akan menerima suntikan tersebut hari ini.

Selepas Jokowi menerima suntikan itu, dilaporkan program vaksinasi akan bermula dan ia akan diedarkan kepada 34 wilayah di seluruh republik tersebut.

Difahamkan, kira-kira 1.48 juta petugas kesihatan di Indonesia bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula minggu ini dengan lebih 560,000 daripada jumlah itu pada bulan ini.

Sementara itu, bakinya 900,000 individu lagi dijadual pada bulan hadapan.

Seramai 17.4 juta pegawai dan kakitangan awam yang bertugas di barisan hadapan membendung pandemik Covid-19 pula akan menerima suntikan vaksin pada masa akan datang.

Indonesia pada masa ini berada di tangga ke-20 di dunia jumlah positif kes Covid-19 dengan 846,765 kes sejak kes pertama direkodkan 2 Mac tahun lalu.

Terdapat pertambahan pesakit Covid-19 dengan seramai 10,047 kes baharu dan 302 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir.

Sehingga semalam, sebanyak 695,807 kes sembuh dan 24,645 kes kematian dilaporkan di Indonesia.

Indonesia meluluskan penggunaan kecemasan untuk vaksin Covid-19 dibangunkan syarikat China, Sinovac Biotech.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Indonesia adalah negara pertama di luar China yang meluluskan penggunaan vaksin tersebut.

Kebenaran itu diputuskan selepas data sementara melalui ujian kepada manusia di peringkat akhir di Indonesia menunjukkan vaksin itu berkesan 65.3 peratus.