Malaysia Dateline

Jokowi turun sendiri jumpa rakyat sambil nasihat, beri pelitup muka

Video Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi turun ke pasar-pasar sambil memberikan nasihat agar semua rakyatnya memakai pelitup muka bagi melawan penyebaran Covid-19 kini tular.

Klip video berdurasi 3.18 minit ini menunjukkan Jokowi turun bertemu orang ramai di pasar-pasar dengan menaiki basikal sambil menasihatkan mereka memakai pelitup muka.

Kepada mana-mana orang yang tidak memakai pelitup muka pula diberikan pelitup muka secara percuma sambil memaklumkan rumah sakit di negara itu sudah penuh.

“Tolong ibu-ibu dan bapak-bapak, cara terbaik buat masa sekarang untuk menyelamatkan diri kita adalah dengan memakai masker.

“Rumah sakit semuanya sudah penuh. Kasihan sama doktor dan jururawat yang sudah keletihan dan ramai yang terkena Covid,” kata Jokowi yang memakai pelitup muka penuh, melalui pembesar suara mudah alih dari atas basikalnya.

Antara tempat yang beliau turun berbasikal dengan disertai empat pembantu yang juga berbasikal dengan memakai baju “Bersatu Lawan Corona” adalah Pasar Peterongan, Semarang.

“Mana masker, mana masker,” tanya Jokowi kepada mana-mana orang yang tidak memakai pelitup muka sambil pembantunya akan memberikan pelitup muka secara percuma kepada mereka.

Kepada penjual beliau menasihatkan agar menghalau sahaja para pelanggan mereka yang datang untuk membeli tanpa memakai pelitup muka, “sambil anda sendiri pakai masker terus.”

Beliau menasihatkan orang ramai dengan berkata, “Ini sekarang, covidnya semakin menggganas. Cara menyelamatkan yang paling baik adalah anda memakai masker.

“Saat ini semua rumah sakit sudah penuh. Tenaga kesihatannya sudah letih. Saya minta tolong sambil anda belanja dan yang jualan pakai masker ya?” kata Jokowi.

Menurut beliau, varian baru Covid-19 sangat cepat merebak.

Ketika berjumpa kumpulan yang makan di kedai makan tanpa menjaga jarak, beliau menasihatkan mereka supaya jangan berbuat demikian kerana Covid-19 akan mudah merebak.

Semalam 21 Jun 2021, 14, 536 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Indonesia dengan purata 12, 128 setiap hari pada minggu lalu.

Lebih 2 juta kes Covid-19 telah dicatatkan di negara itu dengan 54,956 sudah meninggal dunia akibat virus ini.