Malaysia Dateline

Jong pecah, yu kenyang

Ilham Center menggunakan peribahasa di atas dalam unjurannya pada Jumaat petang lalu, untuk menggambarkan bagaimana Barisan Nasional (BN) akan beroleh manfaat yang besar dalam pilihan raya negeri Johor, atas kucar-kacir dan berpecah-belahnya organisasi Pakatan Harapan (PH).

‘Jong pecah, yu kenyang’ membawa maksud, dalam keadaan kacau bilau, pasti ada yang mendapat keuntungan.

Perpecahan PH kali ini, kalau diikutkan hati; boleh ditulis buat buku. Begitu mengarut dan meruntun jiwa, melihat bagaimana koalisi yang baru sahaja empat tahun lalu menang bergaya dan mengambil alih Putrajaya bersama harapan dan cita-cita rakyat Malaysia, akhirnya perlahan-perlahan mencair dan hancur seperti ais kacang terbiar lama.

Hasil daripada perpecahan itu, bersekali dengan keadaan kapal yang seakan tiada nakhoda dan kemudinya berpusing entah ke mana; muncul lah suami Rosmah Mansor menyelit di celah-celah rekahan; seperti air laut, dan menelan habis bahtera yang mereput itu tadi.

Tetapi bagi saya Najib Razak bukanlah ikan yu yang dimaksudkan Ilham Center. Tetapi itu nanti kita cerita.

Mari kita terlebih dahulu membedah punca perpecahan gabungan PH, dan apakah sebenarnya yang sedang terjadi dalam parti ini; serta cara-cara yang mungkin untuk memulihkannya.

Kepimpinan

Sebenarnya perpecahan politik hari ini dalam kalangan blok pembangkang (kita sebut sahaja PH+) boleh didamaikan sekiranya Najib Razak lebih kerap menampilkan dirinya sebagai musuh utama semua pihak.

Pilihan raya umum pada tahun 2018 telah membuktikan kepada kita bagaimana sebuah barisan bersatu (atau yang disebut orang kampung saya sebagai ‘united front’) menentang satu musuh sepunya adalah strategi paling ampuh untuk menang dan menewaskan kejahatan.

Cuma masalah yang datang kemudian ialah apabila masing-masing pakat khianat mengkhianati dan cuba memajukan agenda sendiri, berbanding mandat dan iradat rakyat. Semua pihak menanggung beban kesalahan, tiada yang suci. Semakin cepat kita berlapang dada menerima hakikat ini, semakin cepat kita boleh bergerak maju menyusun gerakan untuk pertembungan seterusnya.

Jong pecah, yu kenyang
Datuk Seri Anwar Ibrahim

Seorang pemimpin parti PH+ menghantar mesej kepada saya baru sahaja semalam. Ia bertanya tahukah saya apakah sebab utama perpecahan blok dan khemah PH+ hari ini, sehinggakan sukar betul untuk bersepakat sesama rakan oposisi di pilihan raya negeri Johor.

Macam biasa, saya jawab tak tahu. Kerana saya selalunya bukan tahu apa pun. Namun jawapan yang menyusul daripadanya sudah pun saya ketahui. Beliau bukan ahli politik pertama yang menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi ahli parlimen nan seorang ini tidak menyebut nama Anwar. Beliau malah menjawab, dengan tulisan semua huruf besar: KETUA PEMBANGKANG.

Kerana mengulas hal ini nanti, saya juga akan kena hentam dan dimaki hamun di media sosial; seperti mana kebiasaan mereka yang mengkritik Anwar. Kalau tidak bersama Anwar, pastilah penyokong ‘Atuk’ atau ‘kartel’ atau ‘meremang’ atau apa sahaja label yang boleh diberikan. Asalkan boleh melencong jauh daripada menjawab kritikan yang dilontarkan kepada pemimpin ulung tersebut.

Apa pun lencongannya, fakta yang boleh kita bentang dan sukat adalah seperti berikut.

Sejak menerima sokongan berbentuk kenyataan bersumpah sebahagian besar Ahli Parlimen, Ketua Pembangkang belum pernah lagi mengadakan pertemuan untuk ‘consolidate’ sokongan terbabit dan menyatakan sikap serta agenda ke hadapan. Kesemua Ahli-ahli Parlimen yang memberikan sokongan kepadanya dibiarkan melopong, terutama sekali apabila Pakatan Harapan bertindak menandatangani memorandum persefahaman dengan pihak kerajaan.

Ini bukan saya kata. Ini ahli parlimen di atas tadi yang kata. Parlimen sedang bersidang sekarang, namun belum lagi kita dengar bagaimana Ketua Pembangkang mahu membawa semua pihak yang pernah menyatakan sokongan terhadapnya untuk berpadu tenaga menangani masalah-masalah politik mendatang. Kalau ada pun mungkin sudah sangat terlambat.

Penyudahnya WARISAN, PEJUANG dan MUDA membawa diri masing-masing. Hatta WARISAN pun entah bagaimana membuat keputusan pendek akal untuk memusuhi kawan-kawan di Semenanjung. Langkah tersebut diambil katanya kerana ada cerdik pandai yang membuat keputusan untuk ber-MoU dengan kerajaan negeri Sabah, memintas ketua pembangkang, Shafie Apdal. Mustahil Shafie akan berdiam diri dan tidak melompat.

Tidak susah untuk kita meneka bahawa Shafie juga ada cita-cita politik sendiri. Dan setelah mengukur kegagalan-kegagalan Anwar, beliau pun barangkali sudah perasan dirinya cukup kuat untuk menawarkan diri sebagai calon PM, yang mengundang gelak ketawa kita semua. Ya, termasuk saya.

Orang Muda

Sama juga halnya dengan MUDA. Dan ini pastinya lebih sensitif lagi. Parti pimpinan Syed Saddiq ini telah bertindak meletakkan calonnya menentang calon PKR di Larkin, selepas berjanji untuk tidak melanggar mana-mana kerusi PH.

Sebenarnya kita tidak boleh menolak bacaan bahawa Muda berani berbuat demikian kerana sepertimana Umno, Muda juga telah mengukur prestasi PKR dalam tiga pilihan raya lalu; di Sabah, Melaka dan Sarawak.

Malah tidak mustahil bagi kita mengagak bahawa Muda sedang bersiap atau dipersiapkan untuk menyertai gabungan Pakatan Harapan sebagai alternatif kepada PKR, alang-alang PKR pun sudah tidak begitu suka dengan gabungan yang diketuai presidennya sendiri.

Setelah kecundang di Melaka dengan logo PH, dan kemudian kecundang lagi di Sarawak dengan logo sendiri; PKR sekali lagi menduga arus dengan bertanding dengan panji-panjinya sendiri di Johor. Akhirnya semalam kita menyaksikan bagaimana logo yang dikenali betul oleh orang Johor hanya berkesudahan dengan satu kerusi di Bukit Batu. Itu pun tipis.

Barangkali PKR, sepertimana parti-parti PH yang lain; telah mengambil mudah undi orang muda yang kali ini turut melibatkan pengundi 18 tahun. Mungkin mereka menyangkakan undi orang muda ini semua secara ‘default’ adalah memihak pembangkang, kerana orang muda kan memberontak jiwanya. Ternyata peratusan pengundi 18 tahun ini sebenarnya tidaklah terlalu ramai, dan mereka tidak semuanya menyokong parti-parti PH+. Malah tidak salah untuk kita meneka bahawa sebahagian besar mereka mengundi mengikut pilihan ibu bapa dan keluarga. Hampir pasti juga mereka tidak kenal akan kejahatan BN. Khalas.

Dari sudut ini juga kita menemukan salah percaturan PH-DAP yang telah memberikan dua kerusi kepada MUDA dengan harapan MUDA akan berkempen mendapatkan undi orang muda. Sayap pemuda parti sendiri pun dilupakan setelah terpesona betul dengan kempen video di Tiktok, hatta percaya habis bahawa MUDA adalah kunci untuk mendapatkan sokongan anak muda Johor.

Nah, sekali rupanya MUDA sendiri pun tidak terkempen di kerusi-kerusi yang ditandinginya, malah perlu mengusung orang tua-tua dari PH untuk memperkenalkan calon-calonnya di gerai-gerai makan. Tiada kelibat jentera parti itu membantu DAP, hatta di kerusi-kerusi yang kalau letak selipar pun selipar itu boleh menang.

Komunikasi

Kalau kita menonton siri House of Cards, baik versi Amerika atau versi asalnya yang diterbitkan di UK; kita akan mendapati bahawa rakan rapat ahli politik adalah para pengamal media. Ini kerana khabar berita, meski benar atau sebaliknya; membentuk persepsi dan mengolah persetujuan awam.

Komunikasi diulang sebut sebagai masalah paling besar Pakatan Harapan sepanjang 22 bulan menjadi kerajaan. Menteri dan pegawai-pegawai menteri dicerca, bahkan oleh rakan-rakan sendiri. Beberapa mesyuarat dibuat untuk mencadangkan cara-cara bagaimana komunikasi kerajaan PH boleh diperbaiki.

Namun ternyata empat tahun kemudian pada 2022, komunikasi masih kekal menjadi masalah yang seakan tidak mahu diselesaikan.

Contoh paling gagal ialah bagaimana sekeping kenyataan media beredar dalam kalangan wartawan, tanpa persetujuan dan pemeriksaan parti-parti komponen. Lalu apabila diperiksa, ada yang mengatakan kenyataan itu palsu, dan ada yang kata betul. Nak mengaku tidak tahu, nanti orang kecam pula.

Cuba kalau kepimpinan PH boleh usahakan sebuah ‘command center’ berpusat untuk urusan media. Ini termasuklah pengurusan kenyataan bersama, penerbitan ceramah online, sidang media harian, dan yang paling penting sekali, ‘messaging’ yang sekata.

Selain tema ‘Johor Bangkit’, kita hampir langsung tidak tahu apakah mesej yang mahu disampaikan oleh Pakatan Harapan kepada pengundi di Johor, dan apakah sebenarnya ‘call to action’ yang mahu disemaikan. Kita boleh meraba dalam gelap dan meneka apakah mesej itu, dan menemukan nama Najib Razak, kleptokrasi, stabiliti dan sebagainya. Tetapi selain daripada itu, mesej kempen PH begitu bersepah dan membosankan. Memetik kata seorang rakan wartawan, ‘kempen PH jadi macam kenduri arwah’.

Hakikatnya tuan-puan sekalian, pengundi Johor sebenarnya sudah pun membuat keputusan mereka sebelum DUN dibubarkan. Meski berkempen selama sebulan sampai hilang berat 10 kilo pun, pendirian pengundi tidak boleh diubah-ubah lagi. Bukan kerana mereka degil atau bodoh, tetapi kerana mereka kecewa dan letih. PH telah gagal memujuk kekecewaan itu kerana organisasi media dan mesej yang huru hara.

Jalan Ke Hadapan

Pemimpin politik, seperti sardin dalam tin, kedua-duanya mempunyai tarikh luput. Sampai masanya, akan ada lapisan tin-tin sardin yang baru dibuat dan perlu diletakkan di atas para.

Seperti filem The Batman yang sedang ditayangkan di pawagam. Bukan tak ada cerita Batman lain sebelum ini yang bagus-bagus. Tetapi ‘new is always better’. Dan ini perlu ditelan dan dihadam betul-betul.

Ada sekeping gambar yang saya kongsikan di Twitter, memaparkan sebaris individu di perhimpunan agung Umno entah tahun bila. Ada Najib, Muhyiddin, Mahathir dan juga ada Anwar. Kesemuanya masih merupakan karakter utama dalam pementasan politik negara hingga ke hari ini.

Selebihnya yang di kiri kanan depan belakang kekal menjadi NPC, non-playable character, atau paling ‘koman’ pun hanya dijadikan karacter ‘side quest’ dalam permainan video. Tak faham? Anda mungkin terlalu tua.

Untuk ke sekian kalinya, lapisan-lapisan di belakang itu perlu dibawa ke hadapan untuk mengambil peranan, dan bukan sekadar mengambil arahan. ‘Taking charge, not taking orders’ seperti kata seorang lagi rakan wartawan.

Hanya demikian barulah daulah terpendam negara ini boleh digugat daripada rasa selesa yang berpanjangan, setelah begitu lama mendapat laba daripada perubahan kuasa daripada tangan-tangan dalam lingkaran yang sama. Siapakah daulah terpendam? Mereka inilah yang tiada berubah kedudukannya biar bagaimana rancak pun proses demokrasi berlaku. Inilah ikan yu yang kenyang selepas berkenduri lantaran jong yang pecah.

Dan percayalah, apabila BN kembali ‘stabil’, yang akan lebih stabil ialah watak-watak daulah terpendam itu.

Sekarang tinggal kita bertanya, kalau benar BN begitu gila mahu mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 berlangsung seawal bulan Julai, bagaimana Pakatan Harapan dan sekutunya akan mempersiapkan diri? Kerana kalau disukat daripada Melaka, Sarawak dan Johor; memang melingkup lah kita semua.