Malaysia Dateline

Jordan mula terima bekalan gas asli dari Mesir untuk jana elektrik

Jordan pada Ahad mula menerima separuh daripada keperluan harian gas aslinya dari Mesir bagi penjanaan elektrik, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai.

Pegawai itu, yang enggan dinamakan, memaklumkan Xinhua bahawa langkah itu dibuat selepas satu perjanjian antara Mesir dan Jordan dimeterai pada awal Januari yang menyaksikan Mesir berjanji untuk membekalkan separuh daripada keperluan gas Jordan bagi menjana pengeluaran tenaga pada 2019.

Pegawai itu berkata perjanjian tersebut adalah penting bagi mengurangkan kos tenaga Jordan.

“Ini adalah satu langkah yang amat penting yang bakal menyokong ekonomi Jordan,” kata pakar ekonomi Hosam Ayesh kepada Xinhua.

“Gas Mesir akan membantu meningkatkan daya saing industri-industri di Jordan kerana kos tenaga merupakan halangan utama yang sering dihadapi oleh industri,” kata pakar ekonomi itu.

Jordan memerlukan sejumlah 330 juta kaki persegi gas asli setiap hari untuk menjana pengeluaran tenaga, menurut Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral.

Jordan pernah menerima kira-kira 250 juta kaki persegi bekalan gas setiap hari dari Mesir pada 2004.

Jumlah itu dikurangkan pada 2009 sebelum dihentikan sepenuhnya pada 2011 selepas saluran paip di Sinai yang membekalkan gas ke Jordan diserang kumpulan pengganas.

Selepas Mesir menghentikan bekalan gasnya, Jordan terpaksa mengimport gas asli cecair yang lebih mahal.

— BERNAMA