Jordon, Palestin dan Arab Saudi beri amaran kepada Israel tentang Turki

Jordon, Palestin dan Arab Saudi beri amaran kepada Israel tentang Turki

Akhbar harian Israel, Haaretz mendakwa tiga negara Arab telah memberi amaran kepada Israel tentang penyerapan pengaruh Turki di Timur Baitulmaqdis, lapor Aljazeera.

Menurut laporan itu, Arab Saudi, Jordon dan Palestin memberikan amaran secara berasingan mengenai penyerapan pengaruh Turki di kawasan-kawasan yang diduduki Israel di Timur Baitulmaqdis.

Laporan Haaretz menyebut, pegawai kanan dari tiga negara Arab itu memberitahu Israel bahawa Turki “memanjangkan pengaruhnya di tanah Arab yang berjiran dengan Baitulmaqdis” yang menurut mereka merupakan usaha Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan untuk “mendapatkan hak ke atas isu Baitulmaqdis”.

Sumber Israel mendakwa pihaknya sedar tentang pelebaran pengaruh Turki itu dan mereka telah memantau usaha Ankara sejak setahun lalu.

Menurut laporan itu lagi, pegawai Jordon dilaporkan berkata, pihaknya kecewa dengan tindak balas lembab Israel berhubung perkara tersebut terutama selepas perjanjian penyatuan pada 2016 ditandatangani.

Pegawai dari Pihak Berkuasa Palestin juga menyatakan kebimbangan terhadap usaha Turki meluaskan pengaruhnya di Timur Baitulmaqdis yang datang dalam bentuk sumbangan kepada organisasi Islam di tanah Arab yang berjiran dengan Baitulmaqdis atau melalui pelancongan yang dianjurkan oleh kumpulan Islam Turki.

Pegawai pertahanan Israel memberitahu akhbar harian Israel itu bahawa fenomena berkenaan tiba di kemuncaknya dalam 2017 dengan ratusan warga Turki mewujudkan “kehadiran yang kerap di dalam dan sekitar bandar Baitulmaqdis” dan meningkatkan pertembungan dengan pasukan polis sewaktu solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa.

 

CATEGORIES