Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan amaran baru yang melarang sebarang kenderaan berat menggunakan jalan raya pada waktu puncak terutama di sekitar Lembah Klang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, larangan itu terpakai kepada Kenderaan berat dengan muatan (BDM) melebihi 7.5 tan ke atas bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas di sekitar Lembah Klang.
JPJ turut mengeluarkan dua waktu yang tidak dibenarkan kenderaan berat masuk iaitu pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 petang.
“Larangan waktu terhad itu membabitkan 10 laluan pada waktu pagi dan lapan laluan pada waktu petang.
“Waktu pagi membabitkan semua jalan di pusat bandar Kuala Lumpur, Jalan Kuching, Jalan Genting Klang, Jalan Cheras, Lebuhraya Plus, Jalan Tun Razak, Jalan Istana, Jalan Segambut dan Jalan Sentul.
“Bagi waktu petang pula, ia membabitkan laluan Jalan Kepong, Jalan Ipoh, Jalan Gombak, Jalan Genting Klang, Jalan Cheras, Jalan Sungai Besi dan Jalan Kelang Lama,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Menurut JPJ, pihaknya mahu pengendali syarikat atau pemandu kenderaan barangan mematuhi larangan itu dan dilarang menggunakan jalan raya sekurang-kurangnya 5 kilometer dari pusat bandar.
Zailani berkata, penguatkuasaan bagi kesalahan sekatan larangan itu dibuat berdasarkan peraturan dibawah Subseksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Jika didapati ingkar, tindakan kompaun boleh dikenakan dengan tidak melebihi RM300 atau boleh didakwa di mahkamah yang mana denda yang boleh dikenakan tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000.
Baca juga: Siapa curi balak RM5 juta sebelah konsensi Daulah Najah, tanya Husam