Malaysia Dateline

JPJKK Selangor akan mantapkan peranan cegah jenayah

Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor akan terus memantapkan peranannya, sebagai usaha  menjadikan inisiatif pencegahan jenayah di negeri itu lebih berkesan.

Ketua Jabatan itu, Datuk K.Kumaran berkata berikutan itu, pihaknya komited dalam menggerakkan kerjasama secara kolektif dengan masyarakat supaya kes jenayah di Selangor dapat dibendung.

“Dengan adanya operasi dan kempen pencegahan jenayah yang berterusan serta penglibatan anggota masyarakat, ia dilihat telah membuahkan hasil yang positif apabila indeks jenayah menunjukkan penurunan.

“Mengikut rekod  bagi tempoh 1 Jan sehingga semalam, indeks jenayah di Selangor mencatatkan sejumlah 18,867 kes iaitu penurunan kira-kira 18 peratus berbanding nilai ambang (penurunan kes jenayah) iaitu 23,100 kes ,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi mempertingkatkan keselamatan komuniti, JPJKK akan menggerakkan anggotanya secara kerap di lokasi-lokasi penting  bagi mengurangkan persepsi ‘fear of crime’ dalam kalangan masyarakat sekali gus menghalang penjenayah melakukan jenayah.

Jelas Kumaran, pihaknya juga akan berusaha  mengekang bukan sahaja perlakuan jenayah tetapi menurunkan kadar jenayah terutamanya membabitkan tiga kegiatan jenayah iaitu curi motorsikal, pecah rumah dan samun tanpa senjata api.

“Ia susulan tiga kegiatan jenayah itu merupakan penyumbang utama dalam indeks jenayah di Selangor… ini kerana dalam tempoh yang sama (1 Jan-15 Nov 2018) kes curi motorsikal mencatatkan 5,816 kes,  pecah rumah (3,080) manakala samun tanpa senjata api mencatatkan 2,923 kes.

“Kita juga telah mengenalpasti 13 kawasan sebagai kawasan panas jenayah di negeri ini antaranya di Bukit Tinggi dan Taman Sentosa di Klang Selatan, Bandar Kajang, serta Sungai Way dan Damansara di Petaling Jaya,” katanya.

Beliau dalam pada itu, turut mengingatkan masyarakat supaya tidak memandang ringan terhadap kegiatan jenayah serta melaporkan kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan mereka kepada pihak polis.

–BERNAMA