Malaysia Dateline

JPM sedia ruang dialog berhubung isu ‘fatwa’ untuk Nik Zawawi, secara langsung

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) membuka ruang kepada Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh untuk berdialog berhubung isu ‘fatwa’ di dalam slot rancangan Analisis TV Hijrah pada minggu ini, secara langsung.

Setiausaha Politik kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Abang Ahmad Kerdee Abang Magasus berkata, beliau tertarik dengan kesudian Nik Muhammad Zawawi selaku Ketua Dewan Ulama Pas yang baharu untuk berdialog dengan sesiapa sahaja tentang isu kenyataan beliau “Wajib menjatuhkan Pakatan Harapan dalam PRU 15”.

Namun beliau meletakkan syarat agar siaran secara langsung diadakan, katanya.

Sehubungan itu ujar Abang Kerdee, rentetan daripada itu, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dengan ini membuka ruang kepada beliau untuk berdialog di dalam slot rancangan Analisis TV Hijrah pada minggu ini, secara langsung.

“Saya mengambil maklum bahawa Ustaz Wan Ji Wan Husin (PKR) dan Ustaz Abu Hafiz Salahudin (Bersatu) telah menyatakan kesediaan untuk berdialog secara bersemuka dengan beliau.

“Saya juga dimaklumkan bahawa YB Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi telah menyatakan persetujuan namun meletakkan ‘syarat tambahan’ agar ‘regu dialognya’ nanti adalah setaraf keilmuan agamanya.

“Mungkin ini memandangkan pandangan “wajib” yang beliau telah keluarkan sebelum ini atas kapasiti beliau juga memegang jawatan sebagai Ketua Dewan Ulama Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan wakil dari Pakatan Harapan (PH) yang boleh membuahkan hasil untuk rakyat dan dasar negara.

“Oleh yang demikian, suka saya maklumkan di sini bahawa bagi mewakili PH, Ustaz Zolkharnain Abidin Al-Hafiz selaku Pengarah Syariah Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) yang jawatannya setara jika dibandingkan dari sudut hierarki parti dengan Ketua Dewan Ulama akan menjadi regu kepada YB Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi di dalam dialog itu nanti,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Ustaz Zolkharnain juga di dalam agensi di bawah Pejabat Menteri Agama adalah Timbalan Yang Di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang mempunyai akses dalam kerajaan pada hari ini.

Maka dengan itu, kesemua syarat dan ‘syarat tambahan’ yang dipanjangkan telahpun dipenuhi, tambahnya.

“Gelanggang telah kami buka, suburkan budaya berhujah menerusi ruang dialog demi kepentingan ummah,” katanya lagi.

Kenyataan Nik Muhammad Zawawi mencetuskan kontroversi apabila beliau dalam Mukatamar Pas di Kuantan baru-baru ini berkata adalah wajib menjatuhkan kerajaaan Pakatan Harapan dalam PRU15 nanti.

Sehubungan itu banyak pihak mempertikaikan ‘fatwa’ beliau tersebut.