JPM tubuh Jawatankuasa Solidariti Keamanan

JPM tubuh Jawatankuasa Solidariti Keamanan

Jawatankuasa Solidariti Keamanan (JASA Keamanan) telah ditubuhkan hari ini bagi mempromosi keamanan dan memperkukuhkan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dalam negara.

Perkara tersebut diumumkan dalam satu kenyataan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi memperkenalkan konsep RAHMAH kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim selaku timbalan pengerusi.

“Untuk makluman, jawatankuasa ini akan menjalankan pelbagai aktiviti menjurus ke arah keamanan bagi mendidik masyarakat memahami erti keharmonian dan kehidupan bersama bagi memastikan masyarakat Malaysia khususnya umat Islam pentingnya keamanan dan keharmonian di negara,” kata kenyataan itu.

Jawatankuasa tersebut turut dianggotai oleh agensi-agensi kerajaan, NGO serta wakil masyarakat sivil seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).