JPN buat laporan terhadap penulis blog sebar maklumat palsu status kewarganegaraan

JPN buat laporan terhadap penulis blog sebar maklumat palsu status kewarganegaraan

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis berhubung penularan gambar di media sosial yang mendakwa pejabatnya di Putrajaya diserbu pendatang asing untuk mendapatkan status kewarganegaraan.

Laporan dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap penulis blog dan pemilik akaun facebook berkenaan, kata JPN dalam satu kenyataan dipetik pada Rabu.

“Tuduhan yang dibuat boleh menggugat ketenteraman awam dan keharmonian negara.

“Gambar-gambar yang disebarkan merupakan gambar sekumpulan pelanggan yang hadir ke JPN Putrajaya pada 19 Julai lepas yang dibantu oleh unit khas Kerajaan Negeri Selangor, MySel,” katanya.

Blog berkenaan antara lain mendakwa pejabat JPN Putrajaya sesak selepas 55,000 pendatang bakal menjadi warganegara.

Mengulas lanjut JPN memaklumkan individu yang gambarnya disertakan dalam blog berkenaan merupakan orang awam dari Pulau Ketam yang mempunyai pelbagai urusan berkaitan pendaftaran.

Ini termasuklah permohonan kad pengenalan serta kelahiran dan tidak terhad kepada permohonan kewarganegaraan sahaja.

“Pelanggan-pelanggan tersebut terdiri daripada warga emas dan juga mereka yang mempunyai kesukaran untuk hadir sendiri ke pejabat-pejabat JPN bagi urusan pendaftaran,” tambah kenyataan itu lagi.

JPN turut menegaskan bahawa permohonan bagi mendapatkan kewarganegaraan hanya diberikan kepada mereka yang layak sahaja dan penganugerahan taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh kerajaan Malaysia kepada warga asing dan tidak diberikan sewenang-wenangnya.