Malaysia Dateline

JPN lapor polis siasat akaun FB sebar dakwaan beri MyKad pada warga asing

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini membuat satu laporan polis terhadap beberapa pemilik akaun media sosial susulan isu penularan gambar yang mendakwa JPN memberikan kad pengenalan kepada warga asing baru-baru ini.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh berkata, laporan polis itu dibuat berhubung dua isu termasuk pemberian status kewarganegaraan kepada lima warga asing yang sebenarnya ia merupakan sindiket pemalsuan dokumen.

“Kita telah buat laporan polis pagi tadi terhadap beberapa akaun Facebook yang mendakwa kita beri kad pengenalan kepada lima orang warga China. Itu sindiket pemalsuan dokumen dan tak ada kena mengena dengan JPN.

“Isu kedua melibatkan seorang warga China yang memiliki kad pengenalan. Saya jelaskan, dia sebenarnya isteri kepada warganegara Malaysia dan telah berkahwin hampir 20 tahun. Dia juga telah memperoleh kewarganegaraan pada September 2017 di bawah Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Selain dari laporan polis, kita akan berjumpa dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan kita lihat balik pemilik akaun Facebook yang begitu aktif menyebarkan maklumat yang belum ditentukan kesahihannya,” katanya dalam sidang media, di Putrajaya hari ini.

Jelasnya, penyebaran sindiket pemalsuan kad pengenalan yang dikaitkan dengan JPN telah pun tersebar sejak tahun 2015 dan ia terus dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang turut menyebarkan isu kewarganegaraan seorang isteri kepada rakyat Malaysia.

Namun, beliau berkata, pihaknya tidak akan membuat kesimpulan terhadap motif penyebaran maklumat tersebut dan meletakkan siasatan sepenuhnya terhadap pihak polis.

Katanya, JPN turut akan menimbang semula sama ada akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun Facebook yang terus menyebarkan maklumat palsu biarpun kenyataan telah dikeluarkan.

“Apa yg dilihat adalah satu trend dikalangan pemilik media sosial di mana mereka begitu mudah menyebarkan maklumat yang mereka dapat melalui laman sosial Facebook, Twitter, dan juga WhatsApp.

“Saya tak mahu buat kesimpulan jika terdapat motif tertentu disebalik polar penyebaran maklumat ini kerana apa yang penting, pihak JPN nak pastikan sebagai agensi dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), kita laksanakan tugas berdasarkan peraturan yang ditetapkan di dalam perlembagaan,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai untuk tampil dan memberikan maklumat secara rasmi jika benar terdapat dakwaan bahawa kakitangan JPN terlibat dalam aktiviti pemalsuan dokumen.

“Kita terima banyak dakwaan yang nengatakan kakitangan kita terlibat dalam aktiviti pemalsuan dokumen, tapi apa kita mintak, pihak yang ada maklumat tampil beri maklumat secara rasmi.

“JPN pandang serius isu ini dan tak akan berkompromi dengan kakitangan yang terlibat dengan sebarang aktiviti pemalsuan dalam menjalankan tugas pengeluaran dokumen,” ujarnya.