Malaysia Dateline

JPS Pulau Pinang hantar misi bantuan banjir ke Kelantan

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang mengambil tindakan segera membantu mangsa banjir di Kelantan dengan menghantar bantuan makanan dan keperluan asas kepada mangsa banjir di sana.

Majlis pelepasan Program Pengurusan Banjir (Hands On) dan Misi Bantuan Bencana Banjir Kelantan 2019 tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari di Kompleks Tun Abdul Razak, Georgetown semalam.

Barangan keperluan asas yang telah siap untuk dihantar ke Kelantan.

Menurut Pengarah JPS Pulau Pinang, Ir Shukri Muslim, bantuan yang disalurkan tersebut adalah bagi meringankan beban mangsa tersebut serta mendedahkan kaedah untuk pengurusan banjir besar.

Selain itu ujarnya, ia juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pasukan sukarelawan serta persediaan oleh JPS Kelantan dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir terlibat.

“Tujuan utama kita adalah bagi memberi sokongan dan bantuan barangan keperluan asas kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat.

“Disamping itu juga akan diadakan kerjasama dengan JPS Kelantan bagi mengetahui lokasi yang sering dilanda banjir besar.

“Kita turut ingin mendapatkan maklumat mengenai tindakan serta usaha yang dijalankan bagi mengatasi masalah banjir tersebut, ” tegasnya.

Tambah beliau, seramai 25 kakitangan JPS Pulau Pinang yang dihantar ke Kelantan adalah dengan kerjasama Kelab Sukan JPS Pulau Pinang.