Malaysia Dateline

JTKSM akan ambil alih menguruskan pembayaran pampasan pekerja Utusan

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia( JTKSM) telah meminta pihak UHY Advisory Sdn Bhd melunaskan semua pampasan membabitkan 815 bekas pekerja Utusan Melayu yang diberhentikan baru-baru ini.

Menerusi siasatan dilakukan JTKSM , UHY Advisory Sdn Bhd selaku Pelikuidasi Interim telah mengambil alih sepenuhnya syarikat pada 8 Oktober 2019 dan status pembayaran gaji kepada seramai 815 orang pekerja terlibat dalam pemberhentian pada 9 Oktober 2019 tidak dapat dipastikan kedudukannya.

Melalui JTKSM iaitu sebuah jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia telah menjalan siasat dan menerusi satu mesyuarat yang diadakan pada pada 11 Oktober 2019 dengan UHY Advisory yang bertempa  di Ibu Pejabat JTKSM Putrajaya, telah meminta pihak UHY untuk memastikan semua pekerja yang diberhentikan menerima pampasan yang sewajarnya mengikut peraturan terpakai yang terkandung dalam Akta Kerja 1955.

Manakala Majikan iaitu Syarikat Utusan diminta mengemukakan Borang Pemberhentian Kerja (PK) dan mengeluarkan Notis Penamatan kepada semua pekerja yang terlibat atau membayar gaji ganti notis.

“Pihak pekerja yang diberhentikan akan membuat tuntutan bayaran gaji di Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

“Jabatan juga meminta pihak Utusan supaya membayar penuh bayaran VSS kepada pekerja yang terlibat dalam pemberhentian pada tahun 2018 manakala gaji bagi Bulan September dan Oktober 2019 hendaklah dibayar sekaligus kepada semua pekerja yang masih dalam perkhidmatan pada 30 Oktober 2019,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh JTKSM hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi bagi memastikan nasib semua pekerja yang terlibat tidak terabai, Ibu Pejabat JTKSM turut menyarankan agar pihak UHY dan Utusan Melayu bekerjasama dengan PTK Kuala Lumpur untuk menjalankan program-program peluang pekerjaan dan memberi khidmat nasihat kepada para pekerja tersebut.

“Kerjasama ini termasuklah membuka booth JobsMalaysia, penglibatan PERKESO melalui penawaran Sistem Insuran Pekerjaan (SIP), penyelarasan bayaran pinjaman di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) serta penyertaan dalam Program Karnival Kerjaya yang akan diadakan dalam masa terdekat,” ujar kenyataan itu.

Dimaklumkan juga UHY Advisory  akan mengadakan satu sesi taklimat kepada semua pekerja pada 30 Oktober ini jam 3.30 petang di Dewan Besar Utusan berhubung tindakan-tindakan yang diambil untuk membantu bekas pekerja yang terlibat dalam pemberhentian kerja itu.

Utusan Melayu (M) Berhad menghadapi kemerosotan aliran tunai sejak Mei 2018 dan telah mengeluarkan Memorandum Pekeliling pada 9 Oktober 2019 yang memaklumkan bahawa semua operasi syarikat berkenaan akan diberhentikan berkuatkuasa pada 9 Oktober 2019.

Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak syarikat bagi memperkukuh keadaan tersebut termasuklah menawarkan Skim Pemisah Sukarela (VSS) kepada seramai 708 orang pekerja daripada 1,523 orang pekerja keseluruhannya.

Pemberhentian peringkat pertama berkuatkuasa pada 30 November 2018. Selain itu, syarikat juga berusaha mendapatkan aliran tunai bagi menampung modal melalui penjualan aset-aset syarikat namun gagal.

Ini menyebabkan syarikat bersetuju melakukan Penggulungan Sukarela Pemiutang di mana UHY Advisory (KL) Sdn. Bhd dilantik selaku Pelikuidasi Interim.