Malaysia Dateline

Jual barangan kemas yang dicuri untuk beli dadah, polis rampas hampir RM100,000 barangan suami isteri

Barangan kemas yang dilarikan dijual di kedai pajak dan wang yang diperoleh itu digunakan untuk membeli dadah.

Itu pengakuan pasangan suami isteri berusia 30-an yang bertindak pecah masuk rumah dengan menyasarkan kediaman di kawasan terpencil di sekitar Machang, Kelantan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitendan Mohd Zahir Abdullah, berkata suspek melakukan jenayah itu pada waktu tengah malam sehingga awal pagi semasa penghuni sedang tidur.

Menurutnya, semakan polis mendapati, terdapat enam kejadian yang dilaporkan dalam tempoh dua bulan, dengan tiga laporan dibuat pada Julai manakala tiga lagi diterima bulan ini.

Dalam sidang media di IPD Machang hari ini, beliau memberitahu semasa suspek ditangkap turut dijumpai pelbagai barangan termasuk kereta digunakan suspek dengan anggaran keseluruhannya hampir RM100,000.

Barangan itu terdiri daripada 11 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan 14 beg galas; kad pengenalan; tiga jam tangan; tujuh resit membeli emas surat pajak; tiga gelang tangan emas; dua rantai leher emas; dua subang emas; dan masing-masing seutas cincin emas serta kerongsang emas.

“Kesemua barang kes yang dirampas di rumah suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini,” katanya.

Susulan penangkapan suspek di Kampung Jebak, Pasir Puteh, 4 Ogos lalu itu, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes pecah rumah di kawasan daerah Machang.

Sementara itu, kata Mohd Zahir, hasil ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek lelaki mendapati positif dadah Methamphetamine.

Semakan rekod lampau juga, jelasnya, mendapati suspek lelaki mempunyai sembilan rekod lampau bermula dari 2011 hingga 2021 atas kesalahan jenayah berkaitan dadah.

Pasangan terbabit direman selama seminggu bermula 5 Ogos hingga 11 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Baca juga ‘Elok sangat polis, SPRM siasat sesiapa yang berpengaruh dulu sebab Pak Mail fokus Keluarga Malaysia’

Baca juga 2 hari meluncur di jalan raya, Perodua Alza jadi idaman terlibat kemalangan