Jual Edra gadai kepentingan negara kepada pihak luar

Pemuda Amanah Nasional (Pemuda Amanah) mendakwa tindakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjual Edra Global Energy Berhad (Edra) kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN) adalah menggadai kepentingan negara kepada pihak luar.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Pemuda Amanah Nasional (Pemuda Amanah) mendakwa tindakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjual Edra Global Energy Berhad (Edra) kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN) adalah menggadai kepentingan negara kepada pihak luar.

Ini kerana sektor-sektor kritikal seperti keselamatan awam dan pertahanan negara sangat bergantung kepada sumber tenaga elektrik.

 Edra merupakan syarikat yang mempunyai pemilikan strategik kepada IPP (independent power producer) yang mempengaruhi operasi dan pengendalian tenaga di seluruh negara oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Pemuda Amanah, Sany Hamzan berkata, ia tidak termasuk kesan domino kepada kos sara hidup rakyat yang bakal melonjak tinggi jika penghapusan subsidi dilaksanakan sebaik sahaja transaksi jualan aset kepada CGN ini selesai sepenuhnya pada Februari tahun hadapan.

“Daripada awal lagi Perdana Menteri sewajarnya mementingkan keuntungan jangka panjang kepada negara, berbanding hanya berfikir mahu mendapat beberapa billion daripada jualan tersebut demi menyelamatkan syarikat 1MDB yang semakin karam,” katanya.

Menurut beliau,  1MDB telah membazir begitu besar wang rakyat apabila aset strategik sebegitu gagal diurusniaga hingga gagal pula mendatangkan keuntungan yang diharapkan, kini aset strategik itu dijual pula kepada syarikat luar dengan jumlah perolehan hasil jualan yang tidak jauh berbeza dengan nilai belian awal keseluruhan aset.

Pemuda Amanah menegaskan, pengerusi 1MDB, Datuk Seri Najib Razak perlu menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab ini dan tidak harus dibiarkan terus memimpin negara.

“Seluruh pemimpin-pemimpin politik, NGO-NGO dan segenap individu rakyat perlu bertindak agar Perdana Menteri yang tidak bertanggungjawab seperti ini meletakkan jawatan dan digantikan dengan ahli parlimen lain yang lebih bertanggungjawab.

“Kita tidak mampu menduga, aset negara manakah yang bakal digadai oleh beliau selepas ini,” katanya.

TAGS