Masih ada peniaga yang sesuka hati menjual makanan di bazar Ramadan dengan harga cekik darah.
Lebih menyakitkan hati apabila makanan mahal tapi kualiti dan rasa berada di tahap paling rendah.
Tular mengenai sikap peniaga di Bazar Ramadan Taman Suria yang menjual makanan dengan harga cekik darah lapor Sinar Harian.
Bagi pengguna TikTok dikenali sebagai Pok Teh, dia melihat kebanyakan peniaga di sana menyasarkan orang Singapura dengan meletakkan harga tinggi.
“Contohnya harga burger sampai RM30 dan harga roti john sampai RM40. Bukan itu sahaja, mereka sanggup caj bagi beg plastik hingga 50 sen. Nak tak nak terpaksa beli, takkan nak bawa makanan macam tu tanpa beg plastik.
“Saya menasihati golongan B40 yang mengunjungi bazar berkenaan supaya lebih berhati-hati kerana makanan dijual mungkin di luar kemampuan. Lebih baik tanya harga dulu sebelum beli makanan. Mereka menyasarkan warga Singapura.
“Mereka tahu sebelum ini orang Singapura selalu datang ke Taman Suria apabila mahu makan makanan Malaysia,” katanya.
Ada peniaga yang tampil mempertahan diri dengan memaklumkan kadar sewa tapak naik menyebabkan mereka terpaksa meletakkan harga mahal pada makanan mereka.
“Sorry bang tapi abang tahu ke sewa sebulan ada kena RM8k ke RM10k? Pemilik yang naikkan sewa, peniaga yan g dah berniaga lebih 10 tahun setiap tahun tak boleh buat apa terpaksa sewa dan terus berniaga.
“Betul dekat sini mahal gila sewa dia. Makcik saya niaga sini RM10k tapak dia. Setiap tahun sewa naik,” antara komen peniaga.
Namun itu menimbulkan amarah buat pembeli kerana mereka pula yang terpaksa menanggung akibat daripada kenaikan harga sewa tapak.
“Lambakkan semua kos modal kat kepala pelanggan. Bagus.
“Teringin nasi kerabu, beli nasi, solok, telur masin dan paru. Dua bungkus RM32. Rasa pula hampeh! Sedih, main sumbat sahaja makan. Bayar mahal kalau sedap tak apa,” antara komen pengguna TikTok.
Baca juga: Bos anjur buka puasa untuk staff pejabat tapi minta bayaran RM100 seorang, pekerja luah rasa ralat