Jual tanah bayar hutang selamatkan Najib, kata Mahfuz Omar

Jual tanah bayar hutang selamatkan Najib, kata Mahfuz Omar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pengumuman kerajaan kononnya syarikat pelaburan negara sarat kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjaya mengurangkan hutang sebanyak RM40 bilion dengan menjual tanah dilihat bagi menyelamatkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata demikian dengan menyifatkan hutang 1MDB yang hanya berbaki RM2 bilion sebagai “kejayaan besar” Najib membuka tirai tahun baharu 2016.

“Tahniah 1MDB dan tahniah Najib dalam tempoh enam bulan berjaya mengurangkan hutang sebanyak RM40 bilion melalui pelan rasionalisasi. Kejayaan ini selepas pelbagai penafian awal dibuat oleh kerajaan tiada apa masalah yang dihadapi oleh 1MDB.

“Sudah tentu 30 juta rakyat Malaysia berbangga dan bergembira di ambang tahun baru 2016 atas kejayaan Najib dan kerajaan Umno- BN sebagai acara sambutan dengan berselawat dan percikan bunga api,” sinisnya dalam kenyataan media..

Menurut pemimpin PAS itu, rakyat melangkah gagah ke tahun baharu ini selepas bebas daripada beban hutang 1MDB dengan menjual syarikat dan projek janakuasa Edra Energy serta yang terbaru jual tanah projek Bandar Malaysia kepada syarikat berkepentingan asing dari China.

“Perniagaan yang mudah, buat perniagaan dan pelaburan yang mengarut-ngarut dan buat hutang banyak-banyak kemudian jual harta untuk bayar hutang, selesai masalah!

“Inilah kehebatan kerajaan Umno-BN. Dulu, MAS bermasalah rugi. Nak buat untung jual bangunan dan kapal terbang kemudian sewa balik untuk operasi. Akhirnya tutup syarikat lama buka syarikat baru. Buang pekerja. Hebat Malaysia berniaga sampai tutup kedai dan jual tanah,” bidasnya lagi.

TAGS