Malaysia Dateline

Jualan Kraftangan Malaysia RM370 juta setakat September 2019

Prestasi utama Kraftangan Malaysia amat memberansangkan apabila nilai jualan kraf bermula Januari sehingga September tahun ini telah mencatat melebihi RM370 juta.

Menteri Pelancongan,Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, nilai RM370 juta tersebut adalah hasil daripada jualan seramai 5,737 usahawan kraf dari seluruh negara.

Katanya,daripada jumlah itu, sebanyak RM24.2 juta merupakan nilai jualan kraf bagi negeri Sarawak dan RM37.1 juta adalah dari Sabah.

“Saya melihat pencapaian jualan kraf di Sarawak dan Sabah ini sangat membanggakan dengan bilangan usahawan kraf di kedua -dua negeri ini adalah seramai 3,070 orang.

“Dengan perolehan ini secara tidak langsung menyahut seruan kerajaan agar konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 atau ‘Shared Prosperity’ dapat diterapkan kepada semua golongan dan lapisan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Gala Borneo Craft Textile di sebuah hotel terkemuka di Kuching malam tadi.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta isteri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tuanku Haji Bujang.

Menurut Mohamaddin,kementeriannya dan Kraftangan Malaysia akan terus menyediakan program -program dalam membangun dan memperkasakan usahawan komuniti kraf di negara ini termasuk masyarakat etnik di Sarawak dan Sabah.

Seterusnya beliau melahirkan keyakinan bahawa sasaran 5 juta pelancong masuk ke Sarawak akan tercapai bersempena penganjuran Tahun Melawat Sarawak tahun ini berikutan dengan wujudnya produk-produk pelancongan di negeri ini.

Tambah beliau lagi, merujuk kepada Statistik Kedatangan Pelancong ke Sarawak yang dikeluarkan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak dari Januari sehingga September 2019, seramai 3.36 juta orang pelancong dari dalam dan luar negara telah datang di negeri ini.

“Saya yakin jumlah ini akan terus meningkat dan mencapai sasaran ditetapkan.

“Pada masa sama, kerajaan juga berharap sasaran ketibaan 30 juta pelancong dengan RM100 billion pendapatan diraih bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 atau VM2020 tahun hadapan,” tegas beliau.

Mengenai pengajuran Malam Gala Borneo Craft Textile,beliau berkata ia bertujuan untuk mempromosi dan memartabatkan produk kraf tekstil dari Sarawak dan Sabah.

“Bersempena dengan program ini,Kraftangan Malaysia telah melaksanakan beberapa aktiviti pembangunan dan pengeluaran produk baru seperti Kraf Komuniti Ku dan projek Semarak Kraf,” tambahnya.

Katanya, produk baru itu memfokuskan kepada penglibatan komuniti setempat dalam penghasilan Songket Sarawak, Tenunan Pua Karap dan Batik Linut di Sarawak manakala Tenunan Dastar, Tenunan Sambitan, Tenunan Rungus dan Sulaman Pis di Sabah.