Jualan perdagangan borong dan runcit catat pertumbuhan 8.2 peratus

Jualan perdagangan borong dan runcit catat pertumbuhan 8.2 peratus

Jualan sub-sektor perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan 8.2 peratus kepada RM1.25 trilion pada 2018 berbanding tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata bagi suku keempat 2018 (4Q18),Indeks Volum berkembang 8.1 peratus kepada 173.8 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, didorong oleh pengembangan perdagangan runcit sebanyak 11.8 peratus.

Bagi tempoh yang sama, Indeks Volum perdagangan borong dan kenderaan bermotor, masing-masing turut merekodkan peningkatan 6.2 peratus dan 1.9 peratus.

“Bagi perbandingan antara suku tahun, Indeks Volum Pelarasan Musim bagi perdagangan borong dan runcit meningkat 1.7 peratus berbanding suku ketiga 2018, disumbangkan oleh sub-sektor perdagangan borong dan perdagangan runcit masing-masing sebanyak 2.6 peratus dan 1.5 peratus,” kata Mohd Uzir.

Indeks Volum Pelarasan Musim bagi Kenderaan Bermotor menyusut 3.7 peratus bagi tempoh yang sama.

Nilai jualan perdagangan borong dan runcit bagi 2018 naik 8.0 peratus kepada RM109 bilion bagi Disember 2018 berbanding tempoh sama pada 2017.

— BERNAMA