Jualan perdagangan borong & runcit cecah RM108.9 bilion bagi bulan Januari 2019

Jualan perdagangan borong & runcit cecah RM108.9 bilion bagi bulan Januari 2019

Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat 7.8 peratus kepada RM108.9 bilion pada Januari 2019 berbanding tempoh yang sama pada 2018, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam kenyataan, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh perdagangan runcit yang meningkat 10.6 peratus tahun ke tahun.

“Bagi perdagangan borong, nilai jualan mencatat pertumbuhan tahunan sebanyak 6.2 peratus manakala subsektor kenderaan bermotor juga berkembang sebanyak 4.8 peratus,” katanya.

Berbanding Disember 2018, Mohd Uzir berkata nilai jualan merosot 0.3 peratus kerana pertumbuhan negatif dalam subsektor perdagangan runcit yang merosot 1.8 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata nilai jualan kenderaan bermotor naik semula kepada 2.6 peratus dalam tempoh yang sama selepas penguncupan 3.2 peratus sebulan lepas.

“Jualan lebih tinggi ini disumbangkan oleh penjualan stok 2018 dan permintaan kukuh untuk model baharu yang dilancarkan antara Disember 2018 dan Januari 2019,” katanya.

Dari segi indeks dagangan, Mohd Uzir berkata perdagangan borong dan runcit naik 7.9 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini sebahagian besarnya didorong oleh perdagangan runcit yang mencatatkan pertumbuhan 11.2 peratus,” katanya.

Mohd Uzir juga berkata kenderaan bermotor dan subsektor perdagangan borong masing-masing berkembang 5.6 peratus dan 5.2 peratus, dalam tempoh yang sama

— BERNAMA