Malaysia Dateline

Judi ekor di Pulau Pinang: Sanusi boleh dianggap hina institusi agama Islam

Kenyataan Menteri Besar Kedah mengaitkan judi ekor dengan Pulau Pinang boleh dianggap sebagai suatu penghinaan terhadap institusi-institusi agama Islam di Pulau Pinang.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan institusi-institusi agama Islam di Pulau Pinang sentiasa berusaha memartabatkan kedudukan Islam di negeri tersebut.

“Kita sedia maklum bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang tiada raja atau sultan di Malaysia.

“Pulau Pinang termasuk dalam negeri yang segala urusan mengenai agama Islam terletak secara langsung di bawah Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, walaupun Pulau Pinang kini diperintah Pakatan Harapan (PH) menerusi gabungan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) tetapi kedudukan Islam sebagai agama persekutuan tetap terpelihara dan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri.

Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

Semalam, Sanusi yang yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkata, kerajaan negeri Kedah akan mengharamkan semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka.

Walau bagaimanapun, pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan 2022 Kedah, Sanusi dilapor mengaitkan Pulau Pinang pula dengan aktiviti ‘nombor ekor’.

“Kerajaan tidak akan beri lesen (baru), kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang,” lapor portal Free Malaysia Today.

Mengulas lanjut, Wan Salim menasihatkan Sanusi agar menjaga imej sebagai pemimpin kerajaan negeri yang dihormati.

“Selaku seorang ‘abang’, suka saya menasihatkan Menteri Besar Kedah ini supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Beliau perlu menjaga imej jawatan disandangnya sebagai seorang pemimpin sebuah kerajaan negeri yang dihormati, bukan sebagai pemimpin di peringkat kampung atau kawasan yang pengaruhnya agak terhad,” katanya.

Wan Salim juga menasihatkan Sanusi agar tidak lagi membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi dengan pemimpin lain terutama negeri jiran.

Sebaliknya, kata Wan Salim, Sanusi perlu berusaha menjalin hubungan mesra dengan semua pihak.