Malaysia Dateline

Judi online nampak sangat sasarkan Melayu Islam

Tidak cukup dengan cabutan judi daripada 8 kali kepada 22 kali, kini kerajaan PN dilihat semakin hebat mempromosikan judi melalui iklan atas talian atau online pula.

Menurut Setiausaha AMANAH Pulau Pinang, Mohd Saifullah Abd Nasir, promosi yang begitu ketara mensasarkan golongan Melayu dan Islam apabila bahasa Melayu dan para pelakon juga berpakaian baju Melayu serta bertudung sempena hari raya.

MOHD SAIFULLAH

Malah katanya, adalah amat malang apabila Ramadan yang mulia ini dicemari dengan promosi judi yang meluas seolah-olah tiada langsung menghormati sensitiviti umat Islam serta bulan yang mulia.

“Sebelum ini anak-anak muda telah pun terkesan dengan pendapatan yang tidak mencukupi, kini promosi judi pula semakin galak saban hari sedangkan kerajaan PN yang mempunyai ramai menteri kabinet terus menerus tidur dalam kesenangan tanpa mempedulikan normalisasi halus budaya yang merosakkan ini.

“Kerajaan Melayu-Islam terbukti kini hanya retorik kosong yang melemahkan minda orang Melayu apabila bulan Syawal yang mulia bagi umat Islam telah dijadikan kesempatan ini bagi mempromosikan budaya yang merosakkan ini.

“Sudah seharusnya rakyat bijak menilai apakah kerajaan PN benar-benar memperjuangkan agenda Melayu-Islam atau hanya, setakat modal politik bagi meneruskan kekuasaan mereka,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, menurut sumber, kesemua pelakon dan penari dalam iklan judi online itu telah ditangkap oleh polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan kesemua pelakon dalam video itu ditahan di sekitar ibu negara hari ini.

“Semua pelakon dalam video promosi judi online itu sudah ditangkap polis.

“Pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Dang Wangi sudah tangkap pelakon-pelakon ini (video judi online)

“Esok kita akan reman mereka,” katanya kepada portal berita  MalaysiaGazette.