Malaysia Dateline

Judi: Prinsip harga diri parti tergadai bila berkuasa

Kenyataan setiausaha politik kepada Menteri Alam Sekitar, Tuan Ibrahim Tuan Man, En. Mohd Zuhdi Marzuki dari PAS tentang isu lesen judi di Malaysia amat mengelirukan.

Beliau menyatakan isu judi berlesen lebih mudah untuk diharamkan berbanding yang lain. Dalam masa yang sama beliau menyatakan ia hanya “disasarkan” dapat dilakukan pada tahun 2025. Kalau lebih mudah ia dilakukan seperti kata beliau kenapa memerlukan 5 tahun ?

Menurut Zuhdi, fasa pertama Wawasan Induk Negara Sejahtera – WINS, untuk membanteras judi adalah dari 2018 hingga 2020.

Mengikut rekod kerajaan Pakatan HarapanĀ  (PH) telah mengurangkan bilangan cabutan khas 4D daripada 22 bilangan cabutan setahun asalnya pada tahun 1999, kepada 12 kali pada 2019, dan dikurangkan lagi kepada 8 kali pada awal tahun 2020 semasa Kerajaan PH masih memerintah.

Namun, dalam diam, Kerajaan Perikatan Nasional-PN telah menaikkan kembali bilangan cabutan tersebut kepada 22 semula.

Amat aneh bagaimana kalau betul hasrat untuk menghapuskan judi dalam fasa kedua menuju 2025, kenapa yang telah diturunkan bilangan cabutan tahunan daripada 22 kali kepada 8 kali semasa PH telah dinaikan kembali kini kepada 22 ?

Ini seperti orang yang bertaubat dari melakukan dosa yang biasanya makan 3 kali sehari menambah makan 7 kali sehari makanan haram !

Bertambah aneh lagi kenyataan ini datang dari setiausaha politik Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Perlu diingat juga Presiden Pas sebagai Duta Khas Timur Tengah adalah bertaraf menteri penuh sementara Timbalan Menteri Agama adalah dari Pas juga

Aneh juga apabila Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam, bersetuju dengan saranan Senator PH Chin Tong dari DAP yang menyarankan judi ini dihentikan terus sementara Mohd Zuhdi Marzuki memberi pandangan berbeza.

Amat jarang sekali pimpinan Pas bercanggah pendapat cara terbuka dalam isu sebegini melainkan ini adalah satu muslihat dan sandiwara untuk menutup kelemaham Pas tidak mengota janji mereka mengharamkan judi apabila menjadi kerajaan.

Janji untuk mengharamkan judi pernah di nyatakan dengan jelas oleh timbalan menteri agama, Ahmad Marzuk Shari.

Bukan hanya isu judi tetapi banyak lagi isu utama lain seperti hudud, RUU 355, pembelaan kematian anggota bomba Allahyarham Adib dan sikap menentang kekejaman Israel yang Pas telah memungkiri janji.

Malahan Timbalan menteri MOSTI dari Pas juga telah menyokong kuat penyertaan Malaysia di EXPO Dubai bersama Zionis Israel semasa rakyat Palestin terus dizalimi dan di bunuh oleh Israel .

Paling ironis Pas telah menuduh ‘Islam terancam’ semasa kerajaan PH memerintah tetapi semasa kerajaan Melayu Islam yang disertai Pas memerintah, bilangan cabutan judi 4D pun telah dinaikkan semula.

Ironis lagi Senator dari DAP parti yang dituduh Pas menjadi “musuh Islam’ telah menegur tambahan kegiatan judi 4D ini sementara Pas yang pada mula membisu dalam isu ini cuba menjustifikasi hal tersebut.

Inilah yang dikatakan kegagalan sesuatu kumpulan manusia apabila diuji dengan kuasa dan kedudukan dimana mereka gagal menangani ujian amanah Allah yang di beri tersebut dengan baik.