Judo buat saya dapat lihat diri saya sebenar, kata Putin

Judo buat saya dapat lihat diri saya sebenar, kata Putin
Presiden Rusia, Vladimir Putin yang menghadiri sesi latihan judo di pusat ‘Yug Sport’ di bandar peranginan Sochi lewat Khamis, memberitahu pemberita aktiviti sukan itu membantunya kekal positif, lapor agensi berita Rusia TASS.

“Ia jelas dalam fakta perubatan: memberikan peningkatan adrenalina kepada seseorang yang mengamalkan latihan fizikal, mood bertambah baik dan dapat melihat dunia dengan cara berbeza. Saya boleh mengatakan ia membantu anda melihat diri yang sebenar,” katanya kepada pemberita.

Putin turut mengadakan latihan dengan beberapa juara Olimpik sehingga jari kanannya tercedera.

Selesai menjalankan aktiviti itu beliau meluangkan masa melawat arena “Ice Cube” di taman Olimpik Sochi, yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan menjadi pusat latihan utama bagi pasukan kebangsaan lelaki serta wanita Rusia.

Semasa bertemu dengan Ketua Persekutuan Curling Rusia, Dmitry Svishchev, beliau menyuarakan hasratnya mahu melihat kemudahan latihan serupa dibina di Moscow dan Vladivostok.

— BERNAMA