Malaysia Dateline

Jumlah ahli Parlimen, ATM bimbang: Tuduhan Hadi tidak benar

Dakwaan Presiden Pas kononnya ahli Parlimen Muslim sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang tidak mencapai majoriti di Dewan Rakyat, dilihat sangat mengelirukan.

Menyangkal tuduhan itu, Biro Politik Parti Amanah Negara (AMANAH) menjelaskan bahawa, ahli parlimen Malaysia yang beragama Islam berjumlah 140 orang berbanding 82 bukan Islam.

“Ia membentuk 63 peratus iaitu satu jumlah yang majoriti. Selain itu, seramai 13 orang ahli parlimen Umno beragama Islam telah keluar daripada parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Ia sekali gus menjadikan jumlah ahli parlimen yang beragama Islam dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum kejatuhan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir, adalah melebihi jumlah ahli parlimen bukan Islam, iaitu 73 orang berbanding ahli parlimen bukan Islam iaitu seramai 64 orang sahaja,” katanya.

Walaupun begitu, Biro Politik AMANAH berkata, beberapa keputusan besar kerajaan yang perlu melibatkan kelulusan Parlimen, maka undian akan dilakukan oleh kesemua ahli ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang pastinya 63 peratusnya beragama Islam.

“Justeru, dakwaan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa ahli Parlimen Muslim minoriti, adalah tidak benar sama sekali,” jelasnya.

Biro Politik AMANAH turut menyifatkan dakwaan Abdul Hadi kononnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bimbang dengan kemasukan bukan Muslim dan Muslim liberal ke dalam kerajaan baru sebagai tidak bertanggungjawab.

Abdul Hadi Awang mendakwa, pihak berkuasa khuatir dengan kemasukan tersebut yang dilihat sebagai cubaan untuk melemahkan kedudukan Islam dan juga golongan Bumiputera.

Mengulas antara fitnah yang terkandung dalam surat kepada gerakan Islam bertarikh 22 Mac itu, Biro Politik AMANAH menegaskan sebarang kebimbangan yang wujud hanya dicetuskan oleh Pas dan Umno yang membuat dakwaan tidak benar.

“Membuat dakwaan tidak benar dengan menuduh pihak lain khususnya dalam kerajaan yang beragama Islam, sebagai kurang keislaman atau sesat dengan gelaran liberal dan gelaran buruk yang lain.

“Kebimbangan hanya dicetuskan oleh Pas dan Umno bagi memburukkan kerajaan,” kata biro parti itu lagi.

Semalam, Biro Politik AMANAH mengeluarkan 21 hujah menjawab segala tuduhan Abdul Hadi itu selepas lebih seminggu Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri tersebut menafikan surat berisi fitnah berkenaan.