Jumlah dagangan Malaysia dijangka meningkat lima peratus pada 2019

Jumlah dagangan Malaysia dijangka meningkat lima peratus pada 2019

Jumlah dagangan Malaysia dijangka meningkat secara sederhana pada lima peratus tahun ini berbanding 5.9 peratus pada 2018 berikutan ketidaktentuan pasaran global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata pertumbuhan ekonomi global dijangka lemah tahun ini disebabkan perdagangan yang perlahan serta dasar dan ketidaktentuan dalam ekonomi utama selain kenaikan kadar faedah.

“Bank Dunia turut merendahkan unjuran pertumbuhan ekonomi global kepada 2.9 peratus bagi 2019 daripada tiga peratus pada 2018, manakala Pertubuhan Perdagangan Dunia menurunkan jangkaan perdagangan dunia kepada 3.7 peratus pada 2019 daripada 3.9 peratus pada 2018,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi perdagangan Malaysia 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata kebimbangan mengenai gangguan kepada rantaian bekalan global berpunca daripada krisis perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China juga menyebabkan pertumbuhan global lembap.

Bagaimanapun, Darell berkata Malaysia dapat memanfaatkan banyak penjualan dari kedua-dua negara itu pada 2018, yang mendorong peningkatan 8.1 peratus dagangan dengan China serta kenaikan 1.1 peratus dagangan dengan AS.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata eksport dan import turut disasarkan meningkat pada lima peratus pada 2019.

“Kita telah mengenal pasti produk khusus yang kita akan tumpu bagi tujuan dagangan seperti produk elektrik dan elektronik, aeroangkasa, automotif, peralatan perubatan, kimia serta peralatan optik dan saintifik.

“Kita juga menentukan pasaran khusus memandangkan kita melihat wujud peningkatan eksport ke pasaran bukan tradisional seperti Bangladesh, Peru, Republik Czech, Hungary dan Papua New Guinea,” katanya.

Wan Latiff akan memegang jawatan ketua pegawai eksekutif MATRADE secara rasmi pada 1 Feb ini.

— BERNAMA