Jumlah kerusi Exco ikut kerusi dimenangi, kata Azmin

Jumlah kerusi Exco ikut kerusi dimenangi, kata Azmin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, empat calon muka baharu dipertimbangkan bagi mengisi kerusi Exco Kerajaan Negeri itu.

Menurutnya, mereka akan menggantikan tiga Exco iaitu dua wakil Pas serta seorang wakil PKR yang juga Ketua Pemuda parti tersebut, Nik Nazmi Nik Ahmad yang kini merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa.

Beliau berkata keempat-empat komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu akan berbincang mengenai calon-calon Exco terbabit.

“Jumlah kerusi Exco yang ada akan diagihkan secara saksama mengikut jumlah kerusi yang dimenangi oleh setiap parti (pada Pilihan Raya Umum Ke-14),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras di ibu negara.

Tiga bekas Exco Pas yang digantikan itu ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang juga bekas Adun Cempaka (kini Pandan Indah); Adun Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan bekas Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR memberitahu beliau akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah esok untuk menyembah senarai calon Exco yang dicadangkan bagi mendapat perkenan baginda.

Majlis angkat sumpah exco dijangka berlangsung pada Isnin ini di Istana Alam Shah, ujarnya.

Pada PRU-14, 9 Mei lalu, Azmin mempertahankan kerusi Dun Bukit Antarabangsa dengan majoriti 25,512 undi dan kerusi Parlimen Gombak dengan majoriti 48,721 undi.

PH Selangor juga menang besar apabila mendapat majoriti dua pertiga dengan menguasai 51 daripada 56 kerusi Dun Selangor.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote