Malaysia Dateline

Jumlah korban Covid-19 di Sarawak tertinggi hari ini

Sarawak mencatatkan bilangan kematian akibat Covid-19 tertinggi hari ini iaitu 20 kes, menjadikan keseluruhan korban wabak tersebut sekarang mencecah 689 kes.

Bilangan kes maut hari ini adalah yang tertinggi sejak kematian pertama direkodkan di Sarawak pada 17 Mac 2020 dengan Sibu merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan empat mangsa.

Ini diikuti Serian (tiga), Lubok Antu (dua), Miri (dua), Sri Aman (dua) dan masing-masing seorang di Bau, Selangau, Kuching, Matu, Beluru, Bintulu dan Kanowit.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, kesemua mangsa maut hari ini mempunyai rekod komorbid seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis, dislipidemia, paru-paru obstruktif dan gout.

Jelasnya dalam kenyataan hari ini, daripada jumlah 20 kes kematian hari ini, 12 adalah lelaki manakala lapan lagi wanita yang semuanya berumur antara 45 hingga 97 tahun.