Jumlah kutipan bayaran balik PTPTN RM817.6juta

Jumlah kutipan bayaran balik PTPTN RM817.6juta

Teo Nie Ching

Jumlah kutipan bayaran balik pembiayaan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diterima adalah sebanyak RM817.56 juta bagi tempoh Jun hingga September lalu berbanding RM1,324.43 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata jumlah tersebut diperoleh selepas proses mengeluarkan 429,945 orang peminjam PTPTN daripada senarai hitam yang dilakukan secara berperingkat mulai 24 Mei lepas dan selesai sepenuhnya pada 8 Jun lalu.

“Bagi memastikan bayaran balik yang berterusan diterima daripada peminjam, tindakan penyenaraian dan pengemaskinian rekod bayaran peminjam dalam rekod kredit Bank Negara iaitu Central Credit Reference Information System (CCRIS) masih dilaksanakan.

“Selain daripada itu, tindakan perundangan (saman) juga boleh diambil ke atas peminjam yang ingkar membuat bayaran,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin tahu jumlah kutipan bayaran balik PTPTN yang diterima selepas tindakan senarai hitam dihapuskan dan usaha yang akan dilaksanakan bagi memastikan sasaran jumlah bayaran balik dapat dicapai.

Teo berkata kajian holistik mengenai dasar baharu pinjaman PTPTN telah selesai dilaksanakan pada 26 September lalu dan setakat ini masih menunggu ulasan daripada beberapa agensi kerajaan yang terlibat sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri.

COMMENTS

Wordpress (0)