Jumlah pelaburan diluluskan meningkat sedikit tahun lepas – Darell

Jumlah pelaburan diluluskan meningkat sedikit tahun lepas – Darell

Jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama meningkat kepada RM201.7 bilion tahun lepas daripada RM200.6 bilion pada 2017, menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Beliau berkata pelaburan itu adalah daripada 4,887 projek yang akan menghasilkan 129,700 peluang pekerjaan.

“Pecahan terbahagi antara pelaburan langsung domestik yang mewakili 60.1 peratus saham sebanyak RM121.2 bilion, manakala pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak 39.9 peratus atau RM80.5 bilion,” katanya kepada pemberita di sini bersempena Laporan Prestasi Pelaburan Malaysia yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata pelabur asing akan terus memanfaatkan ekosistem Malaysia yang unik dan sinergi serantaunya berikutan peningkatan FDI sebanyak 48 peratus daripada RM54.4 bilion pada 2017 kepada RM80.5 bilion.

Darell berkata sektor pembuatan mendahului tiga sektor tersebut yang mencatatkan margin besar dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM87.4 bilion tahun lepas, meningkat 37.2 peratus daripada RM63.7 bilion pada 2017.

Beliau berkata sektor perkhidmatan dan utama masing-masing merekodkan pelaburan berjumlah RM103.4 bilion dan RM10.9 bilion pada 2018.

“Pelaburan asing bagi projek perkilangan yang diluluskan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM58 bilion pada 2018 berbanding RM21.6 bilion pada 2017, merangkumi 66.4 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan,” katanya.

Katanya keadaan ini mencerminkan kejayaan negara dalam pendekatan sasarnya untuk menarik pelaburan bagi industri bernilai tambah tinggi dan berintensifkan pengetahuan.

“China, Indonesia, Netherlands, Jepun dan Amerika Syarikat merupakan penyumbang terbesar kepada sektor perkilangan di Malaysia tahun lepas,” kata Darell.

Lima negara tersebut menyumbang 76.4 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor itu.

Darell berkata 69.5 peratus FDI adalah projek baharu dan selebihnya pula melibatkan projek pembesaran dan pelbagaian.

Beliau berkata ini menunjukkan di samping projek pembesaran dan kepelbagaian oleh syarikat asing di negara ini, semakin ramai pelabur antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Sejumlah 37.3 peratus projek perkilangan yang diluluskan akan menyaksikan syarikat-syarikat menjadikan Malaysia sebagai hab pasaran antarabangsa dengan 80 peratus daripada produk mereka akan dieksport,” katanya.

Beliau berkata industri produk petroleum termasuk petrokimia menyumbang sebahagian besar kepada prestasi keseluruhan sektor pembuatan dengan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM32.9 bilion.

Darell berkata sektor perkhidmatan kekal menjadi penyumbang terbesar bagi jumlah pelaburan yang diluluskan. Pelaburan domestik pula menyumbang 84.1 peratus pelaburan dalam sektor itu.

Pelabur asing lebih kukuh dalam subsektor perdagangan pengedaran dan penubuhan global. Kedua-duanya menyumbang 55.8 peratus daripada jumlah pelaburan asing bagi sektor perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata pelaburan yang diluluskan dalam sektor utama menyusut 12.2 peratus tahun lepas berbanding 2017 terutamanya disebabkan pelaburan yang rendah bagi aktiviti penerokaan minyak dan gas.

Bagi prospek, beliau berkata kementerian itu menyasarkan prestasi pelaburan akan kekal kira-kira RM200 bilion tahun ini.

Sehingga kini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia mempunyai 399 projek perkilangan dan perkhidmatan dengan pelaburan berjumlah RM23.7 bilion, yang masih dalam peringkat perbincangan.

“Kami berhasrat merealisasikan projek-projek ini dan pelbagai projek lagi ke arah ekonomi yang dinamik untuk Malaysia,” katanya.

— BERNAMA