Malaysia Dateline

Mohamed Khaled Nordin

Jumlah penjawat awam berpadanan dengan nisbah populasi penduduk

Jumlah kakitangan awam Malaysia sebenarnya tidak besar. Sebaliknya, berpadanan dengan keperluan dan nisbah populasi penduduk negara sekali pun berlaku peningkatan jumlah kakitangan awam, ia tidak secara automatik bermaksud kita mempunyai lebihan kakitangan awam.

Naib Presiden Umno Datuk Ser Mohamed Khaled Nordin berkata, zaman sudah berubah, populasi negara bertambah, orientasi dan bentuk kerja hari ini juga sudah tidak sama seperti dahulu.

Justeru ujarnya, kita tidak boleh bandingkan semua perkara dengan zaman silam. Seolah-olah sejak 10 hingga 15 tahun kebelakangan ini tidak ada apa-apa yang berlaku kepada negara kita.

“Pertama, kita mesti melihat jumlah dan nisbah kakitangan awam berbanding penduduk negara kita.

“Misalnya, pada tahun 2003, dengan populasi kira-kira 25 juta orang, penjawat awam kita adalah kira-kira 1 juta orang. Ini bermakna, nisbah penjawat awam kepada populasi penduduk adalah 1:25.

“Sedangkan kini pada tahun 2018, jumlah saiz populasi kita adalah seramai 32.4 juta orang dengan kekuatan penjawat awam seramai 1.62 juta orang. Ini menjadikan nisbah penjawat awam kepada populasi penduduk adalah 1:20.

“Lebih penting, kita mesti melihat siapakah golongan atau sektor yang membentuk peratusan terbesar dalam keseluruhan komposisi penjawat awam di negara kita. Mereka adalah dari sektor pendidikan seperti guru, anggota keselamatan seperti tentera, polis, pegawai kesihatan dan lain-lain.

“Berbanding dengan negara-negara di Eropah misalnya. Kakitangan awam mereka didefinisikan dengan sangat spesifik sehingga dipecahkan kepada perkhidmatan awam, sektor kesihatan dan hospital serta keselamatan,”

“Jadi, jika digabungkan kesemuanya, seperti yang dilakukan oleh Malaysia, sudah pastilah jumlah mereka juga amat besar dengan anggaran nisbah kira-kira 1:10. Jumlah ini hampir dua kali ganda lebih ramai dari Malaysia.

“Begitu juga dengan nisbah perkhidmatan awam kepada populasi penduduk di negara-negara lain seperti Jerman ( 1:16), UK (1:11), AS (1:14), Australia (1:12) dan New Zealand (1:13),” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan dibuat oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa, pentadbiran BN terlalu manjakan penjawat awam sehingga perbelanjaan pengurusan negara meningkat berbanding era beliau sebelum ini.

Menurut Mohamed Khalid lagi, keduanya negara perlu bersetuju bahawa sumbangan kakitangan awam dalam pengurusan serta pembangunan negara adalah sangat besar dan penting.

“Tidak ada kerajaan biar dari mana-mana parti sekalipun yang dapat menafikan perkara ini.

“Jadi, saya bersetuju dengan pandangan yang melihat kenyataan YAB Perdana Menteri ini sebagai tidak wajar. Sebaliknya, beliau perlu mengambil pendekatan untuk mengukuhkan keupayaan dan kecekapan perkhidmatan awam.

“Misalnya, memberikan lebih banyak ruang untuk menerima latihan dan kursus khas yang berkualiti, meletakkan KPI dan sasaran yang jelas serta mengubah suai sistem yang ada dengan menjadikannya lebih bersifat teknologi terkini, mesra pengguna dan mudah.

“Malah, kerajaan mesti menawarkan insentif yang menarik untuk menggalakkan bakat-bakat terbaik bangsa kita menyertai perkhidmatan awam,” ujarnya.

Beliau turut menambah, kenyataan Dr Mahathir sebelum ini mendakwa kenaikan gaji 2 kali setahun juga menyebabkan penjawat awam dimanjakan dan ia menyebabkan kos sara hidup meningkat dan menyebabkan perbelanjaan negara tinggi, perlu dinilai semula.

“Kalau kita semak semula, salah satu naratif Kerajaan semasa sewaktu kempen PRU adalah gaji kepada tenaga kerja Malaysia yang rendah dan tidak kompetitif.

“Sebab itulah, had gaji minimum sebanyak RM1500 adalah antara perkara utama yang mereka tawarkan sebelum ini, walaupun selepas menang hanya menetapkan gaji minimum sebanyak RM1050 dan kemudiannya disemak semula kepada RM1100.

“Jadi, jika Kerajaan sebelum ini telah mengambil langkah proaktif dan adil dengan menaikkan gaji perkhidmatan awam, ini adalah satu langkah baik yang wajar disokong dan terus ditambah baik. Bukannya dipertikaikan tanpa asas yang jelas.

“Lebih penting, tanpa kenaikan gaji sekalipun, harga barang akan tetap naik.

“Hujah yang menuduh bahawa kenaikan gaji kakitangan awam adalah faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga barang adalah sangat tidak tepat dan tidak logik.

“Ia ibarat satu naratif dan alasan baharu yang kini dikeluarkan oleh Kerajaan semasa akibat kegagalan mereka untuk mengawal harga barang,” ujarnya lagi.