Jumpa 17 pokok ganja dalam rumah, penyanyi nasyid ditahan polis

Oleh ARIF ATAN

Sebanyak 17 pokok ganja ditemukan dalam rumah dihuni seorang penyanyi nasyid yang juga komposer muzik.

Polis menahan penyanyi berusia 47 tahun itu kerana disyaki memiliki dan menanam pokok ganja di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara.

Penyanyi itu yang memakai baju-t hitam tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya untuk didakwa. kira-kira 10 pagi tadi.

Semalam, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata penyanyi itu akan didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 39B dan 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kegiatan penyanyi yang menanam pokok ganja terbongkar selepas kediamannya diserbu polis.

Dalam serbuan pada 5.30 petang, polis menemui 17 pokok dalam pasu disyaki ganja di salah sebuah bilik, balkoni rumah dan dalam almari baju.

Mohamad Fakhrudin sebelum ini dilaporkan berkata, polis turut menemui dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram.

Turut dijumpai cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/kajian-rintis-spesies-ganja-sebagai-sumber-fiber-akan-dilaksana/