Jumpa mayat pendaki hilang, pengamal paranormal dakwa kejadian misteri jadi petunjuk

Oleh KIM SYAZIE

Sebaik sahaja operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan oleh pihak berkuasa, dua pengamal paranormal segera bertolak ke Bukit Beruang, Melaka.

Tujuan mereka hanyalah untuk membantu selain menyahut cabaran pengikut mereka supaya merungkai misteri kehilangan seorang pendaki.

Mula mendaki pada jam 8 pagi, dua lelaki itu mendakwa berdepan dengan kejadian misteri sebelum berjaya menemui mangsa hilang di sungai.

Dakwa mereka, setelah hampir 10 kilometer mendaki, terdapat dua ekor biawak besar tiba-tiba muncul diikuti dengan kicauan burung yang sangat kuat.

Salah seorang pengamal kemudian menemui satu botol minuman lama sebelum membuat keputusan untuk mengambilnya.

“Sebaik berpaling, saya (lihat) jenazah mangsa dalam keadaan tertangkup di sungai kecil di situ kira-kira 10 meter, namun tidak berbau.

“Team SAR bukan tidak berusaha mencari di lokasi itu, tapi mungkin ditakdirkan tidak jumpa,” kata lelaki yang ingin dikenali sebagai Jas Inanansad Solo.

Dia dan rakannya, Eddy Pemburumalammenjelma kemudian meminta pengikut yang menonton menerusi Facebook ‘Live’ untuk menghubungi polis.

Terdahulu, media melaporkan seorang peniaga lelaki, Steven Tan Kim Huat didapati hilang pada hari Selasa lalu selepas mendaki bukit seorang diri.

“Kita juga tidak boleh nafikan benda-benda mistik macam bunian, tetapi kita jangan terlalu taksub.” Ulas Jas.

Baca juga: ‘PAS fitnah saya lagi’, Hannah Yeoh buat laporan polis