Jumpa pelanduk dua serupa di Korea Selatan, Cik B selamba ‘bahan’ Datuk Seri Vida

Oleh WAN SITI AMINAH

Ahli perniagaan sensasi, Datuk Seri Vida dan anak gadisnya iaitu Cik B sering kali mencuri perhatian ramai dengan gelagat mereka yang mencuit hati.

Terbaharu, dua beranak itu kembali menghiburkan pengguna media sosial selepas Cik B berkongsi satu rakaman video yang telah dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

Menerusi rakaman yang berdurasi 33 saat itu, Cik B memberi reaksi terhadap video perlawanan bola sepak antara skuad Harimau Malaya dengan Korea Selatan.

Video perlawanan akhir Kumpulan E Piala Asia 2023 itu turut memaparkan beberapa orang penyokong dari Korea di mana salah seorang daripadanya menyerupai ibunya.

“Mama, kenapa sokong Korea? Kenapa tak sokong Malaysia? Tak mengapalah Mama, Cik B orang Malaysia. Jadi, Cik B sokong Malaysia,” kata pemilik nama sebenar Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin itu.

Pada mulanya, Datuk Seri Vida yang mesra disapa DSV itu terlihat seperti terpinga-pinga apabila mencuba untuk memahami maksud sebenar ucapan anak gadisnya itu.

Langsung tidak terasa hati, ahli perniagaan berusia 53 tahun itu malah tertawa besar apabila melihat wajah penyokong Korea yang dikatakan mirip dengan rupa parasnya.

Datuk Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman itu turut bersetuju bahawa rupa paras penyokong Korea Selatan tersebut memiliki persamaan dengan wajahnya.

“Macam Mama, tetapi tembam (pipinya),” akui pemilik perniagaan kosmetik itu ketika melihat wajah wanita Korea Selatan yang dikatakan pelanduk dua serupanya.

Tular di media sosial, video tersebut telah berjaya mendapat lebih daripada tujuh juta tontonan dan 718.2 ribu tanda suka daripada pelayar TikTok setakat artikel ini ditulis.

Rata-rata pengguna platform berkenaan turut terhibur dengan video tersebut malah kagum dengan sikap Datuk Vida yang sentiasa ‘sporting’ melayan karenah anaknya.

Sportinglah DSV ini. Dulu mula-mula menyampah. Tetapi sekarang tidak lagi. Terima kasih DSV menghiburkan rakyat Malaysia. Minta maaf kalau pernah mengumpat,” kata seorang pengguna.

“Kira sudah jumpa kembar Datuk Seri Vida. Sebelum ini Sami Buddha. Selepas itu penyokong Korea. Kena cari empat orang lagi.” Komen pengguna lain.

Baca juga: Terkedu tengok baki duit dalam bank warga asing cecah RM300k, rasa macam merempat pula di negara sendiri