Junaidah jawab dakwaan pelantikannya sebagai Pengerusi AIM

Junaidah jawab dakwaan pelantikannya sebagai Pengerusi AIM

Datuk Junaidah Kiting menjelaskan pelantikannya sebagai Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dakwaan berlaku amalan kronisme dalam pelantikannya sebagai Pengerusi AIM kerana statusnya sebagai isteri kepada salah seorang Setiausaha Politik Perdana Menteri.

“Dakwaan seumpama ini dilihat tidak adil sama sekali seolah-olah mahu mencemarkan nama baik saya dan suami khususya dari sudut integriti.

” Malah dakwaan ini juga dilihat dangkal seolah-olah mengenepikan kelayakan, pengalaman serta bakat seseorang yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan sesebuah organisasi.

” Malah, sebelum dilantik sebagai Pengerusi AIM, saya berusaha keras sebagai seorang usahawan wanita yang berjaya dan mampu membina jenama dalam perniagaan,” ujarnya dalam kenyataan semalam.

Beliau turut berkata, dakwaan kononnya matlama,t asal AIM kini sudah menyimpang adalah tidak benar sama sekali.

Ini kerana ujarnya pengurusan baharu AIM sentiasa memberikan fokus kepada usaha meningkatkan sosio-ekonomi serta membasmi kemiskinan rakyat menerusi perniagaan dan keusahawanan.

“Malah AIM ketika ini sentiasa berusaha untuk menambah bilangan peminjam dengan sasaran 400,000 ahli Sahabat AIM sekaligus mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan,” ujarnya.

Dalam kenyataannya juga beliau menjawab berhubung isu penubuhan anak syarikat yang dikatakan tidak mengikut Seksyen 17 (2) Akta Pemegang Amanah 1992, sebenarnya telah pun wujud sejak tahun 2004 lagi dan isu tersebut bukannya diputuskan oleh pengurusan baharu AIM.

“Bagaimanapun, pengurusan baharu AIM yang mana saya selaku Pengerusi sentiasa tegas serta tidak bertolak ansur dengan mana-mana salah laku atau penyelewengan yang berlaku dalam badan itu.

“Malah, AIM telah pun menyerahkan dokumen serta maklumat berhubung isu anak syarikat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut pada 21 Disember lalu,” ujarnya dalam kenyataan itu.