Malaysia Dateline

Junjung Titah Agong, marilah perangi ancaman COVID-19

Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh, mengajak semua pihak untuk berganding bahu memerangi penularan wabak pandemik Covid-19.

Beliau berkata, sayap wanita parti itu menjunjung titah Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menangani ancaman wabak Covid-19 dan akan memberi sokongan sepenuhnya terhadap usaha-usaha bagi tujuan tersebut.

“Saya menjunjung kasih di atas keputusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu yang menolak permohonan pengisytiharan darurat daripada Kabinet Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Seluruh rakyat Malaysia sudah pasti berasa lega dengan keputusan pada hari ini setelah beberapa hari rakyat berada dalam kegelisahan mengikuti perkembangan permohonan dari Perdana Menteri itu.

“Terutamanya, kita sekarang perlu berganding bahu memerangi penularan semula pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan kerencatan usaha pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin ibarat menerima tamparan hebat apabila buat pertama kali dalam sejarah penubuhan negara, Yang di-Pertuan Agong mengetepikan nasihat Kabinet dalam menentukan pelaksanaan darurat.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam, Istana Negara menegaskan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menolak pengisytiharan darurat kerana tiada keperluan untuk melaksanakannya sekarang.

Sebelum ini, usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mendapatkan pengisytiharan darurat dikatakan mempunyai kaitan dengan usul undi tidak percaya di Parlimen sekali gus memungkinkan Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

Ia selepas Muhyiddin berdepan tekanan daripada Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebahagian pemimpin Umno dalam usahanya untuk terus mengekalkan hayat pentadbiran kerajaan PN.