Malaysia Dateline

Jurang kemiskinan dan pemisahan kaum amat bahaya, kata Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan dengan wujudnya jurang antara golongan kaya dan miskin serta pemisahan antara kaum akan mengundang kepada kemungkinan tercetusnya perang saudara dan negara akan hancur.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, apabila Bersatu ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib Melayu dan Bumiputera bukan bererti Bersatu seperti sebuah parti rasis yang diwarisi daripada Umno sebelumnya.

Justeru soalnya, apakah Bersatu yang ditubuhkan untuk menyelamatkan orang Melayu dan Bumiputera lain harus berdiam diri dan membiarkan berlakunya kehancuran Melayu dan Bumiputera berterusan?

” Walaupun kita bukan pewaris Umno tetapi kita bertanggungjawab kepada orang Melayu dan Bumiputera.

” Perkaumankah ini? Dalam negara satu etnik pun apabila berlaku perpisahan yang terlalu jauh antara yang miskin dan yang kaya, sejarah melapor bahawa rusuhan berlaku, perang saudara akan tercetus dan Negara akan hancur.

“Apatah lagi jika perpisahan antara miskin dan kaya ditambah dengan perpisahan antara kaum, yang miskin dari satu kaum, yang kaya dari kaum lain.

“Kombinasi antara dua faktor ini amatlah merbahaya. Ia boleh mencetuskan rusuhan yang serius dan mendalam. Rusuhan akan membawa malapetaka kepada semua rakyat Malaysia. Tidak semestinya rusuhan akan berlaku. Tetapi ralatkah kita ketepikan kemungkinan itu?,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan  dasr dan merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-2 Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya malam ini.

Perdana Menteri turut berkata, sesuatu kaum tidak boleh ditukar warna kulit dan budayanya tetapi jarak antara miskin dan kaya boleh dikurangkan jika tidak pun dihapuskan.

“Menjadi tanggungjawab kita jika kita tidak cuba elak dari rusuhan kaum dengan sekurang-kurangnya mengurangkan jarak antara miskin dan kaya,” ujarnya.

Antara Umno dan Pas

Beliau berkata, orang Melayu sudah keliru apabila kehilangan pemimpin dan haluan apabila Umno sudah tidak lagi berkuasa untuk orang Melayu bergantung harapan.

“Parti yang mana yang boleh mereka bergantung? Jikalau tidak Bersatu, parti mana? Mungkinkah Pas?

“Saya tak nak komen. Pilihlah Pas. Ia bukan pilihan saya.

“Ya, orang Umno memang bersalah. Tak payah saya cerita lagi. Kita semua tahu. Tetapi apakah kerana Umno bersalah kita harus salahkan seluruh bangsa Melayu?,”soalnya.

Dr Mahathir juga menyentuh mengenai kemasukan bekas pemimpin dan ahli Umno ke dalam Bersatu dan Pakatan Harapan.

Beliau menyedari ramai yang tidak menyenangi kemungkinan Bersatu membawa masuk budaya Umno kedalam parti.

Katanya Bersatu tidak menerima dengan mudah kemasukan bekas pemimpin Umno tanpa memenuhi syarat.

“Mesti keluar dari Umno dan jadi bebas. Sebagai bebas secara ikhlas sokong Pakatan Harapan dan Bersatu. Tidak akan ada penerimaan oleh Bersatu sebagai satu kumpulan bekas Umno. Hanya akan diterima sebagai individu bebas. Rekod akan dikaji dengan teliti.

“Jika diterima, tidak boleh pegang jawatan sehingga PRU 15. Lama. Ya lama. Ujian keikhlasan tidak boleh dipercepat. Hanya jika betul-betul ikhlas, jika sudah buang budaya Umno, barulah boleh diterima sesuai untuk pegang jawatan.

“Kita akan tentukan mereka tidak diberi peluang mengembang fahaman dan cara-cara mereka, iaitu cara Umno.

“Bersatu bersih dan kita akan tentukan ia terus bersih. Yang akan bertukar ialah bekas parti lain. Mereka akan serap budaya kita. Mereka yang akan bekerjasama dengan kita.

“Dengan itu kita akan jadi pelindung kepada orang Melayu – pelindung sementara – kerana pelindung yang sebenar ialah kita sendiri.

“Lindungan bagi kita akan terhasil jika kita tidak miskin. Selagi kita miskin kita tidak akan berasa selamat.

“Bukan politik, bukan kuasa politik, bukan parti politik yang boleh melindungi kita. Kita sudah lihat bagaimana parti politik kita yang terkenal kekuatannya, tetapi parti politik inilah yang meletak kita dalam keadaan amat bahaya.

“Tetapi jika kita kaya, jika kita berjaya dalam semua bidang, tidak ada siapa yang boleh ancam kita.

“Tetapi bagaimanakah kita boleh berjaya, boleh jadi kaya dan maju. Sebenarnya kita ada kebolehan. Tetapi kebolehan yang tidak diguna oleh kita, tidak akan menjayakan kita,” ujarnya.

Justeru Dr Mahathir menegaskan partinya boleh pergi lebih jauh dan berjaya untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Bumiputera lain.

“Tak perlu saya ulas bagaimana Bersatu boleh ubah nasib orang Melayu / Bumiputera. Yang kita minta hanyalah kepercayaan dan kesanggupan menurut cara yang akan diperkenal oleh kita.

“Percayalah, Melayu boleh selamatkan diri mereka sendiri. Percayalah hanya Melayu sahaja yang boleh selamatkan diri mereka sendiri,”tegasnya.

Turut hadir dalam persidangan tahunan bersatu dikalangan pemimpin utama Pakatan Harapan antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim Penasihat DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden DAP M Kulasegaran dan Naib Presiden AMANAH Hasanuddin Mohd Yunos,

Selain bekas pemimpin Umno yang menyertai Bersatu  Datuk  Mustapa Mohamad dan Mas Ermieyati Samsudin.

Selain 60 buah delegasi asing, 30 pemerhati dan 300 pengamal media dari dalam dan luar negara.

Pemimpin Pakatan Harapan yang hadir menyaksikan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke-2 malam ini yang dirasmikan oleh Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.