Jurucakap sahkan penyanyi ‘sohor’ Kelantan baik-baik sahaja, dedah keadaan sebenar penjara Narathiwat

Oleh MALAYSIADATELINE

Layanan terhadap tahanan Penjara Narathiwat, Thailand sering menjadi topik perbincangan hangat di media sosial kebelakangan ini terutama sejak penangkapan penyanyi wanita ‘tersohor’ Kelantan bersama lima individu lain di negara itu.

Antara persoalan dibangkitkan oleh masyarakat tempatan termasuk peminat penyanyi terbabit adalah cara layanan terhadap tahanan beragama Islam seperti status halal makanan yang dihidangkan di penjara berkenaan serta kemudahan tempat tidur dan sebagainya.

Tampil menjawab persoalan tersebut, Jurucakap Penjara Narathiwat mulanya mengesahkan bahawa penyanyi itu bersama lima individu yang ditangkap dengan 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Golok, minggu lalu berada di dalam keadaan baik.

Difahamkan, keenam-enam suspek termasuk tiga wanita itu dipisahkan mengikut jantina dalam sel tahanan reman atau sementara buat masa ini bersama 500 tahanan lelaki dan 480 orang bagi wanita, lapor Kosmo.

Jurucakap terbabit juga menjamin tiada perbezaan dari segi layanan oleh pihak penjara itu terhadap kesemua tahanan tidak kira sama ada mereka adalah warganegara Thailand mahupun warga asing.

“Tiada diskriminasi terhadap banduan dari Malaysia. Makanan yang disediakan juga halal dan tukang masak juga merupakan orang Islam. Itu merupakan kelebihan kepada tahanan yang ditempatkan di penjara di tiga wilayah Selatan Thailand.

“Buat masa ini, enam rakyat Malaysia yang ditahan itu berada dalam keadaan baik-baik sahaja. Mereka memakai baju penjara berwarna coklat sepanjang tempoh tahanan. Bagi wanita Islam, mereka dibenarkan untuk memakai tudung.

“Mereka dipisahkan mengikut jantina di sel-sel bersama tahanan lain yang dicekup atas kes dadah, bergaduh, mencuri dan samun. Semua tahanan dan banduan yang ditempatkan di sini merupakan pesalah yang menjalani hukuman penjara kurang daripada 30 tahun,” katanya memetik laporan Kosmo.

Pihak penjara itu juga turut menyediakan sesi ceramah agama dan juga pembelanjaran al-Quran kepada tahanan beragama Islam yang dikendalikan oleh pelajar universiti secara bersemuka atau di dalam talian.

Mengulas lanjut, jurucakap terbabit turut memaklumkan bahawa Penjara Narathiwat mampu memuatkan seramai 2,400 orang dan kapasiti keseluruhan tahanan ketika ini adalah 2,879 orang tahanan.

Daripada jumlah kesemua tahanan itu, hanya 30 rakyat Malaysia ditempatkan di penjara tersebut termasuk enam suspek kes dadah yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung rampasan 6,000 biji pil kuda, baru-baru ini.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) penjara di negara ini, seorang tahanan diberikan ruang seluas 1.2 meter persegi untuk mereka tidur. Kita sudah membuat garisan berbentuk kotak untuk menandakan ruang bagi seorang tahanan.

“Apabila bukan masa tidur, mereka boleh bergerak di sekitar kawasan bilik tahanan itu malah boleh bersenam dengan tahanan lain di situ. Justeru, kami menyangkal pihak yang mengatakan layanan teruk diberikan pihak Penjara Narathiwat kepada tahanan,” tegasnya.

Jelasnya lagi, pihak penjara juga tidak menghalang ahli keluarga untuk melawat tahanan seminggu sekali dalam tempoh 15 minit namun perlu membuat permohonan secara dalam talian terlebih dahulu.

Pihak penjara turut menafikan dakwaan sesetengah pihak berhubung kemudahan yang dikatakan perlu dibayar sebaliknya mengatakan bahawa seluruh keperluan untuk kesemua tahanan di Penjara Narathiwat ditanggung oleh kerajaan.

Terdahulu, seorang penyanyi wanita berusia 20-an yang terkenal dengan lagu daerah Kelantan dicekup bersama lima individu di sebuah hotel di Golok, Thailand minggu lalu sebelum diperintahkan untuk menjalani perintah tahanan reman selama 84 hari atau hampir tiga bulan.

Jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat memberitahu, tahanan reman tersebut dikeluarkan pihaknya agar pihak polis boleh menjalankan siasatan lanjut berhubung kes rampasan dadah jenis pil kuda dalam operasi tangkapan itu.

Kesemua suspek tersebut dihantar ke Penjara Narathiwat sepanjang tempoh reman dan mengikut undang-undang Thailand, mereka boleh dikenakan hukuman penjara di antara 10 hingga 15 tahun dan denda 200,000 Bath atau sekitar RM25,880 atas kesalahan memiliki 6,000 pil kuda.

Baca juga: Nama Eda Ezrin tengah panas, ini latar belakang penyanyi “bey sabor bey”