Malaysia Dateline

Jurugambar Malaysia menang pertandingan Foto PKP PBB

Dengan keyakinan, ilmu dan pengalaman yang ada, jurugambar Norarsikin Maakim, 40 menyahut cabaran Global Photo Contest 2020 anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara online dengan tema ‘Humans Locked Down, Nature Unlocked’ pada Julai lalu.

Beliau menghantar gambar seekor monyet yang dirakam di depan mata pada masa, dan lokasi yang tepat (gambar di atas).

Katanya, gambar yang satu-satunya monyet tertarik dengan pelitup muka bagaimanapun monyet-monyet lain tertarik dengan makanan.

“Jadi, ia bertepatan dengan tema pertandingan fotografi PBB itu,” katanya.

Beliau memberitahu gambar tersebut dirakamkan menggunakan kamera Nikon D750 dalam tempoh sejam pada 27 Jun 2020 di Pantai Kelanang, Selangor.

Norarsikin Maakim

Beliau tersenarai dalam 13 pemenang terbaik dan gambar monyet tersebut layak diabadikan dalam kalendar khas PBB untuk Mac 2021. Pertandingan ini mendapat 3,000 penyertaan dari seluruh dunia.

Kalendar itu akan dipertontonkan kepada pemimpin dunia dan peserta dalam satu persidangan antarabangsa, penghujung tahun ini.

Kemenangan itu turut melayakkan gambar Arsikin dipromosikan di Palais des Nations di Geneva (tertakluk kepada keadaan COVID-19) dan galeri online.

Tahun lalu turut menyaksikan pencapaian wanita ini memenangi hadiah khas pada The Mellow Art Award 2020 di Jepun yang menerima 13,000 penyertaan dari seluruh dunia.

Sebelum itu, beliau memenangi beberapa pertandingan fotografi anjuran pelbagai pihak yang sekali gus membuktikan bahawa kesungguhan, minat dan fokus dalam sesuatu perkara pasti membuahkan hasil terbaik.