Malaysia Dateline

Jurugambar peribadi mengaku MB Terengganu di New Zealand, ‘kebetulan ketika ke sana Terengganu banjir’

Rakyat Terengganu meluahkan rasa kecewa apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar didakwa tidak turun padang dan tidak kelihatan ketika negeri itu dilanda bencana banjir besar.

Keberadaan Samsuri menjadi tanda tanya ramai sehingga warganet di media sosial tertanya-tanya di manakah beliau.

Terbaru, berlegar di media sosial satu tangkap layar dipercayai hantaran Facebook jurugambar kepada Samsuri yang seolah mengesahkan bahawa Samsuri sememangnya berada di New Zealand ketika ini.

Menurut hantaran Facebook Hishamuddin Abdullah, MB Terengganu itu mempunyai dua anak yang belajar di New Zealand.

Dan kebetulan pada ketika Samsuri berangkat ke sana, Terengganu pula ditimpa musibah banjir.

“Mereka kata MB tak cakna rakyat tak pedulikan rakyat. Silakan dengan tohmahan. Untuk ifno, MB mempunyai dua orang anak yang belajar di New Zealand dan dua orang cucu.

“Kebetulan tarikh ke sana itu, Terengganu ditimpa musibah banjir yang besar. Jadi terpulanglah pada rakyat Terengganu hendak menilai dari sudut mana. Masing-masing ada hak sendiri,” katanya sambil memberitahu menyertakan beberapa keping gambar MB Terengganu melawat mangsa banjir.

Katanya, gambar tersebut dirakam sebelum penerbangan ke New Zealand tempoh hari. Hantaran tersebut bagaimanapun telah dipadam dari Facebook.

Ketika ini, terdapat dakwaan mengatakan ketiadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu di Terengganu kerana beliau sedang bercuti di Auckland, New Zealand bersama isterinya, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman berdasarkan tiket kapal terbang di media sosial sejak semalam.

Ahmad Samsuri kali terakhir dilihat berada di Terengganu ialah ketika mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kali ke-20 pada 11 Disember lalu.  

Sementara itu, Exco Terengganu turut mengesahkan hal sama mengatakan Samsuri berada di Auckland.

“Insya-Allah menteri besar akan balik dari New Zealand hari ini, tapi jam berapa, tidak dapat dipastikan,” katanya.