Jurugambar tak sangka hilang 11 ahli keluarga, hanya tahu masa buat liputan

Oleh KIM SYAZIE

Hasrat seorang jurugambar mendokumentasi nahas gempa bumi bertukar suram apabila mendapati 11 ahli keluarganya terkorban dalam fenomena itu.

Jurugambar tersebut, Bakr Al-Qasim tidak menyangka tindakannya membuat liputan di sempadan Turkiye-Syria itu menjadi saat duka buatnya.

Menurutnya, dia mempunyai firasat bahawa ada ahli keluarganya yang terkorban berikutan kesan kemusnahan yang begitu besar.

Namun begitu, tidak terlintas di fikirannya bahawa 11 saudara yang baharu sahaja dia temui dalam majlis keluarga, lapan hari lalu telah meninggal dunia.

Dia merasa sangat hiba apabila tidak dapat berkumpul berkongsi cerita dan gelak tawa bersama mereka lagi.

“Saya sangat terkejut, 11 orang. Saya sudah menjangka bakal kehilangan saudara atau ahli keluarga.

“Tetapi saya tidak pernah membayangkan dalam jumlah yang begitu besar,” katanya yang kelihatan masih terkejut.

Menurutnya, dalam gempa bumi yang bermula pada jam empat pagi itu, dia sempat menggalas beg yang berisi peralatan kamera.

Katanya, dia tidak pernah berdepan dengan perasaan takut sedemikian rupa dan itu adalah pengalaman pertamanya.

Pada 6 Februari lalu, dunia dikejutkan dengan tragedi gempa bumi di tenggara Turkiye dan sempadan Syria yang telah meragut nyawa lebih 30,000 mangsa.

Baca juga: Ikuti latihan tanpa baju sejuk, peminat kagum Luqman berlatih dalam cuaca ekstrim di Iceland