Malaysia Dateline

Jururawat di Singapura dibenarkan pakai tudung

Jururawat bergama Islam yang berkhidmat dalam sektor kesihatan di Singapura dibenarkan memakai tudung ketika bekerja, demikian menurut Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong semalam.

Beliau berkata, keputusan adalah dalam usaha memperkukuh iltizam bersama dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura

“Kami membuat penyesuaian dengan berhati-hati demi memastikan keharmonian kaum dan agama. Pendekatan seperti ini, telah membuahkan hasil sejak bertahun-tahun.

“Dan kita harus meraikan apa yang telah dicapai: negara yang benar-benar berbilang kaum, berbilang agama, dengan kita dapat menyaksikan banyak interaksi mesra dan akrab dipaparkan setiap hari,” katanya Ketika berucap sempena Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) 2021

Pada 2014, Lee berkata terdapat perbincangan hangat mengenai isu tudung dan mesyuarat tertutup dengan pemimpin Islam juga telah diadakan.

“Kami berbincang dari hati ke hati. Mereka menjelaskan kepada saya mengapa pemakaian tudung penting dan mereka berharap kerajaan akan membenarkan.

“Saya beritahu mereka bahawa saya amat memahami, tetapi saya juga menjelaskan perspektif kerajaan dan alasan di sebalik dasar kami,” katanya dipetik Bernama.

Namun, disebabkan beberapa alasan yang kukuh, Lee berkata untuk Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Home Team dan perkhidmatan beruniform yang lain, kerajaan perlu mengekalkan status quo.

“Mereka menegakkan undang-undang Singapura. Mereka mesti selalu dilihat menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Sebab itu mereka semua memakai seragam yang sama,” katanya.

Bagi jururawat di hospital, Lee berkata “di sini, percanggahan pendapat cuba diseimbangkan.”

“Satu pihak adalah kemahuan rakyat manakala kerajaan di satu lagi sudut, memikirkan aspek kebangsaan dan perkara spesifik.

“Pesakit di hospital pula sering resah dan adakalanya tenat. Jadi penting mereka melihat semua jururawat dalam keadaan sama. Pada satu lagi aspek pula, jururawat juga perlu berasa selesa untuk menjaga semua pesakit, tidak kira agama atau kaum.

“Kami tidak mahu perbezaan ketara dalam isu pakaian seragam jururawat menjadikan perkara ini sukar ditangani,” kata Lee.

Perdana menteri berkata, dia sudah pun memberitahu pemimpin Islam pada 2014 bahawa dasar kerajaan dalam sektor penjagaan kesihatan tidak bermakna ia tidak boleh diubah.