Malaysia Dateline

Jururawat tunjuk cara betul cuci tangan dikenakan tindakan

Seorang jururawat yang menunjukkan cara betul mencuci tangan menggunakan ‘hand sanitizer’ tiga hari lalu melalui sebuah video dilaporkan dikenakan tindakan oleh pihak atasan.

Video yang tular itu mendapat perhatian para netizen ekoran penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan apabila negara ini telah mencatat 428 kes sehingga hari ini.

Menerusi video berdurasi satu minit itu, jururawat yang memakai tag nama Hidayah membuat tutorial ringkas ‘hand rub’ sehingga menarik ratusan ribu penonton di laman facebook dan Twitter.

Orang ramai memberi ucapan terima kasih kepada jururawat berkenaan kerana berkongsi cara yang betul mencuci tangan sebagai langkah pencegahan COVID-19.

Semalam, satu kenyataan yang dikeluarkan Delegasi Jururawat Malaysia (Educate – Promote – Protect) daripada Facebooknya Deligation Of Nurses dimaklumkan jururawat berkenaan telah dikenakan tindakan.

Ikuti kenyataan penuh Delegasi Jururawat Malaysia (Educate – Promote – Protect) seperti di bawah;

Kami dapat tahu bahawa terdapat seorang jururawat memberi penjelasan kepada pihak atasan mengapa beliau merakamkan kaedah cucian tangan dengan betul melalui media sosial. Rasional tindakan hanya berdasarkan atas faktor beliau sedang memakai pakaian seragam jururawat.

Mengapa seorang jururawat berpakaian seragam cuba memberi pendidikan kesihatan pembasuhan tangan dengan betul dikenakan tindakan oleh pihak atasan?

Adakah beliau cuba mempromosikan produk atau mengiklankan dirinya untuk kepentingan diri?

Adakah beliau menunjukkan kaedah yang salah dalam menyebarkan pendidikan kesihatan yang berguna kepada masyarakat memandangkan penularan wabak COVID-19?

Hal ini sungguh mengecewakan! Kita sebagai jururawat seharusnya tahu bahawa tugas hakiki seorang jururawat bukan hanya terikat di wad dan klinik semata-mata.

Setiap kali diberi peluang, seorang jururawat yang berfikiran kritis akan cuba ambil kesempatan untuk mendidik masyarakat tentang maklumat kesihatan yang betul.

Adalah dinyatakan bahawa jururawat seharusnya senantiasa mendidik masyarakat tidak kira masa, tempat atau individu, seperti yang disarankan International Council of Nurses sempena Hari Jururawat 2020, A Voice To Lead : Nursing the World to Health.

Pihak atasan yang cuba mengekang jasa dan usaha baik jururawat menyebarkan ilmu melalui media sosial adalah kami kira sebagai jahil, cetek dan tidak memahami akan apa itu kejururawatan, semangat dan nilai kejururawatan sebenar. Pada mereka, jururawat itu mempunyai tanggungjawab hanya di penempatan klinikal semata-mata, dan tidak seharusnya melaksanakan pendidikan kesihatan berterusan kepada masyarakat tanpa mengira masa dan ketika.

Apakah pada masa akan datang, jururawat tidak lagi boleh melaksanakan kempen kesihatan di luar hospital? Apakah jururawat kini tidak lagi boleh memberi pendidikan kesihatan secara bebas?

Mohon ambil perhatian terhadap isu ini. Jangan kita bersikap inferior terhadap karier sendiri sehinggakan usaha individu untuk mempromosikan kesihatan awam dan kejururawatan kepada masyarakat.

Dah penat dengan golongan atasan yang tak celik!