Seorang juruteknik dilaporkan ditahan polis susulan penemuan mayat isteri dan dua anak perempuannya di sebuah rumah di Lenggeng, Nilai, Negeri Sembilan, kelmarin.
Ketua Polis Nilai, Abdul Malik Hasim memaklumkan, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan pihaknya sekitar pukul 1 pagi, semalam untuk membantu siasatan.
Menurut Abdul Malik, Balai Polis Lenggeng mulanya menerima panggilan mengenai seorang wanita dan dua kanak-kanak yang ditemukan maut di satu perumahan.
Panggilan tersebut dilakukan seorang lelaki yang belum didedahkan identitinya oleh pihak polis kira-kira pada pukul 9.25 malam kelmarin, lapor Malaysia Gazette.
Anggota yang membuat siasatan susulan panggilan tersebut dilakukan menemukan mayat wanita berusia 34 tahun dan juga dua anaknya berumur enam dan tiga tahun.
Selain jasad yang tergantung di kipas, pihak polis juga menjumpai nota dipercayai ditulis oleh si mati menyatakan bahawa dirinya berdepan masalah rumah tangga.
“Turut ditemukan di tempat kejadian adalah nota yang menyatakan hasrat mahu membunuh diri kerana masalah rumah tangga.
“Ketiga-tiga mayat dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat,” kata Abdul Malik memetik laporan Malaysia Gazette.
Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Nilai kemudian menahan suami mangsa bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Juruteknik tersebut ditahan reman selama empat hari sehingga 23 Februari depan selepas permohonan reman dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Seremban.